Sebuah menara yang buat Melayu lupa segala-galanya


Haris Hauzah

OLEH kerana negara kita sedang sibuk menyambut kedatangan ulangtahun ke-65 tahun kemerdekaannya, elok juga seandainya kita bertanya-tanya apakah yang kita sebenar- benarnya perlukan setelah 65 tahun merdeka.

Apakah kita masih perlu meruntuhkan setiap bangunan-bangunan lama yang ada, lalu diganti dengan bangunan-bangunan pencakar langit agar kita dipandang dunia?

Menara berkembar KLCC mungkin sudah terlalu lama membawa legasi seorang bekas perdana menteri tua yang kini cakapnya sudah tak laku lagi buat parti bangsa Melayu yang mengaku paling kuat dan berkuasa.

Maka kerana itu ada pemimpin Melayu Islam kita yang cuba menandingi legasi bekas perdana menteri tua itu dengan membina Exchange 106, iaitu menara sentral di tengah hub kewangan Tun Razak Exchange sana.

Bagi melengkapkan obsesi kita terhadap legasi-legasi bangunan tinggi begini, wang, pengaruh dan kuasa yang ada lalu diguna untuk diruntuhkan saja tempat pengisytiharan kemerdekaan negara kemudian diganti dengan kemewahan dan kemegahan bangunan menara setinggi 118 tingkat yang diberi nama Menara Merdeka 118.

Khabarnya, bangunan kedua tertinggi di dunia itu nanti akan menempatkan beberapa kafe, sejumlah kedai cenderamata dan sebuah muzium tekstil untuk kita habiskan wang dengan berbelanja semacamlah kita ini orang kaya.

Selain ada anjung menyerupai menara tinjau buat kita cuci mata menikmati pemandangan setelah habis banyak duit berbelanja. Di situ juga nanti khabarnya akan dibina sebuah masjid yang mahu diberi nama Masjid Merdeka.

Itu tentunya bukanlah sebuah masjid yang biasa-biasa senibinanya. Pasti ia takkan serupa dengan masjid-masjid di kawasan perumahan teres murah di Cheras, Bangi, Kajang atau Sungai Buloh sana.

Walau serba sederhana ia tetap mampu menampung sejumlah 3,000 orang jemaah dalam satu-satu masa.

Pejuang-pejuang agama dan bangsa Melayu tentu akan gembira. Tatkala melihat reka bentuk bumbung berkubah yang menerapkan seni bina Islam sebagai inspirasi walaupun ia sebuah menara tertinggi yang serba maju dan moden.

Di sebelah kirinya pula nanti akan ditegakkan sebatang menara. Sebatang menara yang mengambil falsafah huruf alif yang tentunya akan buat ramai teruja.

Di bahagian tengahnya pula nanti akan ada sebuah taman ala syurga. Khabarnya nanti akan dihidupkan dengan bermacam aktiviti riadah dan budaya selain pelbagai aktiviti santai, hiburan dan kerja yang boleh saja dijalankan di sana.

Khabarnya akan ada berita gembira yang menanti para penghuni flat dan rumah-rumah pangsa seluruh negara pada 2023.

Mana tidaknya, kalau tiga menara kediaman yang menenggek di sekitar keliling menara Merdeka 118 itu dilancarkan, namanya akan buat pejuang bahasa Melayu melompat suka terkinja-kinja.

Ada Oakwood Premier Service Residence dan Merdeka Residence serta sebuah Hotel Park Hyatt Kuala Lumpur dengan ciri-ciri istimewa kolam renang istimewa yang sengaja dibina paling tinggi di tengah kota. 

Kolam renang yang terletak di aras 99 itu nanti akan menyempurnakan hotel bertaraf dunia itu bersama keupayaan 252 buah bilik kesemuanya.

Sebagai salah sebuah bangunan tertinggi di dunia, para pengunjung yang datang dari kawasan-kawasan tanah rendah yang kerap banjir misalnya mungkin boleh meluangkan banyak masa di atas puncak menara Merdeka 118 yang menempatkan sebuah dek peninjau paling tinggi di Asia Tenggara.

Bagi anak-anak muda yang baru habis belajar dan belum ada kerja, mungkin boleh buangkan masa yang ada dengan berjalan kaki di luar bangunan pada ketinggian aras 117 di Edge Walk sambil memikirkan masa depan diri dan keluarga.

Dalam masa beberapa hari ini tentu anak-anak kita di sekolah sedang sibuk bersama guru-guru mereka menyiapkan segala persiapan menyambut kedatangan kemerdekaan negara.

Sambil seronok melihat mereka mengibar-ngibar bendera, elok juga sekiranya kita menoleh dan bertanya apakah yang kita sebenar-benarnya perlukan setelah 65 tahun negara merdeka.

Apakah kita perlu merobohkan segala kepercayaan politik lapok dengan mencampakkan idea-idea politikus lama yang menjual jenama bangsa dan agama yang tua dan korup itu ke dalam penjara?

Ini kerana di atas singgahsana politik sana ada korupsi yang sedang bermaharajalela.

Ada gergasi dan raksasa yang segila-gilanya menyalahgunakan kuasa politik yang mereka ada.

Kerusi-kerusi yang diberi sewaktu pilihan raya sebaliknya menjadi kerusi-kerusi sekumpulan samseng durjana mempersenda dan memperbodohkan kita.

Megahkah kita apabila tiga daripada enam menara paling tinggi di dunia berada di Malaysia, sementara masih ada rakyatnya yang belum mendapat air paip yang bersih dan sempurna ke rumah mereka?

Sedarkah kita bahawa masih ada ramai anak-anak yang terpaksa menahan rasa bahang sewaktu belajar dalam kelas kerana masih ada banyak sekolah uzur di serata negara?

Anak-anak sekolah di Keningau masih perlu bergayut membahayakan diri ke sekolah kerana tiada jambatan yang elok apatah lagi sempurna.

Negara ini ada terlalu banyak masalah, tetapi tergamak seorang perdana menteri berkata inflasi Malaysia terendah di Asia Tenggara sementara menterinya kata rakyat perlu bersyukur, kerana harga barang di Malaysia kedua terendah di Asean.

Demikianlah jawapan para pimpinan kerajaan yang memperoleh pendapatan puluhan ribu sebulan, sedang rakyat dipaksa bertahan dengan pendapatan RM1,500 ringgit sebulan.

Sudah terlalu banyak wang negara yang terbuang, dibazir, dan hilang begitu saja. Makcik bersepanduk “Bebaskan Bossku” yang berdiri bawah matahari di Istana Kehakiman sana tentu saja tidak tergambar wang RM6 bilion yang hilang itu banyak mana.

Dia takkan mampu mengira wang 42 juta yang hilang itu tentunya kerana pimpinan yang Melayu yang Islam itu tahu kita semua mudah untuk diperbodoh dan diperdaya.

Pacakkan saja sebatang menara paling tinggi di dunia, kita pun jadi lupa – lupa ada wang negara yang hilang dicuri pemimpinnya. β€“ 17 Ogos, 2022.
 

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen