SEORANG wartawan jenayah didapati maut di Mexico, kata pihak berkuasa – insiden terkini membabitkan pembunuhan pengamal media di negara itu.
Mayat Juan Arjon Lopez, wartawan bebas yang mengendalikan akaun berita di Facebook, ditemui di San Luis Rio Colorado di barat daya Sonora, berhampiran sempadan Amerika Syarikat.
Wartawan berusia 62 tahun itu dikenal pasti menerusi cap jarinya, kata sumber di pejabat peguam negara Sonora, beberapa jam selepas pendakwa raya Indira Contreras memberitahu media mayat ditemui dengan tatu berpadanan dengan Arjon.
Arjon dilaporkan hilang pada 9 Ogos.
Bedah siasat mendapati punca kematian ialah akibat pukulan, kata pejabat peguam negara menerusi satu kenyataan.
Arjon bekerja sebagai wartawan dan di sebuah restoran tempatan, kata kumpulan hak asasi media Reporters Without Borders (RSF).
Laporan berita terakhirnya di Facebook “What are you afraid of” adalah berkenaan rampasan dadah dan penemuan beberapa barang curi.
Sekurang-kurangnya 13 wartawan dibunuh setakat tahun ini di Mexico, antara negara paling berbahaya di dunia untuk media, menurut kumpulan hak asasi media.
Lebih 150 pengamal media terbunuh sejak 2000 di negara Amerika Latin itu. – AFP, 17 Ogos, 2022.
Komen