Bekalan air dipotong, dicatu di AS, Mexico


AS terpaksa mengurangkan bekalan air di beberapa negerinya susulan Sungai Colorado mulai berada pada paras terendah susulan perubahan iklim dan kemarau. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2022.

BEKALAN air ke beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) dan Mexico akan dipotong bagi mengelak “kemusnahan” kepada Sungai Colorado, kata pihak berkuasa, berikutan kemarau yang paling teruk dalam sejarah melanda negara itu.

Lebih dua dekad taburan hujan agak rendah menyebabkan sungai itu – sumber penting bagi barat AS – berada pada paras kritikal, ditambah dengan perubahan iklim yang menyebabkan putaran kemarau semakin teruk.

Walaupun bertahun-tahun amaran dan tarikh akhir dikenakan oleh Washington, negeri yang bergantung kepada sungai itu masih tidak mencapai persetujuan berkenaan pelan untuk memotong penggunaan mereka, dan pada Selasa kerajaan persekutuan terpaksa campur tangan.

“Bagi mengelak berlaku kemusnahan kepada sistem sungai Colorado dan konflik pada masa depan, penggunaan air di Basin perlu dikurangnya,” kata timbalan setiausaha air dan sains Jabatan Dalam Negara AS Tanya Trujillo.

Peruntukan Arizona dari sungai itu akan menurun 21% pada 2023, sementara Nevada akan menerima kurang 8%. Peruntukan Mexico akan turun 7%.

California, pengguna terbesar air dari sungai itu dan negeri barat yang paling ramai penduduk, tidak akan terjejas tahun depan.

Sungai Colorado melingkari ke Pergunungan Rocky dan merentasi Colorado, Utah, Arizona, Nevada, California dan utara Mexico, kemudian mengalir ke teluk California. – AFP, 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen