Darurat di Sri Lanka akan ditamatkan


Dilaporkan 22 juta penduduk Sri Lanka mengalami kekurangan barangan keperluan sejak akhir tahun lalu dan ia mencetuskan protes di seluruh negara. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2022.

SRI Lanka tidak akan melanjutkan tempoh darurat di negara itu bagi mengawal protes anti kerajaan.

Pejabat Presiden Ranil Wickremesinghe berkata ia susulan keadaan di negara itu kini semakin terkawal.

Darurat yang dikuatkuasakan itu dijadualkan berakhir hari ini. Presiden juga mempunyai bidang kuasa untuk memperbaharuinya setiap bulan selepas itu.

Pentadbiran Ranil menggunakan undang-undang keras itu empat hari selepas presiden sebelum ini melarikan diri dan meletak jawatan pada 14 Julai.

Ia susulan protes berbulan-bulan lamanya akibat masalah kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang teruk dihadapi rakyat.

Tempoh darurat itu membenarkan tentera dan polis menangkap dan menahan suspek untuk tempoh yang lama.

Dilaporkan 22 juta penduduk negara itu mengalami kekurangan barangan keperluan sejak akhir tahun lalu, selepas Sri Lanka kehabisan wang tukaran asing bagi membiayai import, walaupun untuk bahan paling penting.

Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya AS$51 bilion pada pertengahan April dan sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa bagi mendapatkan penyelesaian. – AFP, 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen