100 tan bangkai ikan ditemui di sungai Oder


Jaring dan jengkaut digunakan untuk mengangkat keluar bangkai ikan yang ditemui di sungai Oder yang merentasi Jerman dan Poland, kelmarin. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2022.

PASUKAN bomba Poland menemui 100 tan ikan mati di sungai Oder yang merentasi Jerman dan Poland, mencetuskan kebimbangan bencana alam sekitar yang semakin meruncing.

“Kami tidak pernah terima arahan operasi sebegini sebelum ini,” kata jurucakap pejabat media pasukan bomba Monika Nowakowska-Drynda.

Beliau mengesahkan kira-kira 100 tan ikan mati ditemui sejak Jumaat.

Punca kematian masih tidak dapat disahkan, namun pihak berkuasa percaya ikan itu mungkin keracunan.

“Mungkin jumlah sisa buangan bahan kimia terlalu tinggi dibuang di sungai menjadi punca kepada kejadian ini,” kata Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki.

Tetapi Menteri Iklim dan Alam Sekitar Anna Moskwa minggu ini berkata setakat ini semua sampel yang diuji tidak menunjukkan kewujudan bahan toksik.

Katanya, kerajaan juga melihat kemungkinan ia berpunca dari alam semulajadi dan pencemaran lebih tinggi kesan daripada paras air terlalu rendah dan suhu tinggi.

Hipotesis ketiga yang sedang dijalankan ialah air bahan buangan industri dengan kandungan klorin tinggi mungkin dibuang ke dalam sungai, katanya.

Sampel air turut dihantar ke makmal di Republik Czech, Belanda dan Britain bagi mencari puncanya.

Laporan pertama penemuan sejumlah besar bangkai ikan dibuat penduduk tempatan Poland dan nelayan pada 28 Julai.

Pihak berkuasa Jerman menuduh pihak berkuasa Poland gagal memaklumkan berkenaan kematian ikan itu, dan terkejung apabila sejumlah besar bangkai ikan dipukul ombak ke perairan mereka.

Oder sejak beberapa tahun lalu dianggap sebagai sungai yang bersih, dengan 40 spesis ikan domestik ditemui di sungai itu.

Tetapi kini, bangkai ikan – ada yang sebesar 40cm – boleh ditemui di sungai itu. – AFP, 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen