Dokumentari tonjol sisi sebenar masyarakat India


Ravin Palanisamy

Mogan Selvakannu berkata label negatif dan stigma terhadap masyarakat India di negara ini perlu dihentikan dan melihat sisi berbeza kaum itu pada masa ini. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2022.

MOGAN Selvakannu, seorang jurugambar dan pembikin filem dokumentari kontemporari berharap untuk menggunakan bakatnya mencetuskan perbualan tentang masyarakat India warga Malaysia dan semangat kekitaan di negara ini menerusi penghasilan dokumentari bertajuk “Don’t Rock the Boat”.

Mogan, 40, berkata dokumentari itu boleh berfungsi sebagai medium seni visual untuk mendokumentasikan dan mewakili suara masyarakat India kontemporari bagi menggambarkan wajah sosial komuniti itu.

“Idea di sebalik dokumentari ini ialah mencipta rasa kekitaan dalam kalangan masyarakat India rakyat Malaysia. Mereka dalam keadaan di mana tidak diterima sepenuhnya di negara ini walaupun mereka sudah berada di sini sejak beberapa generasi yang lalu,” kata Mogan.

“Rumah secara asasnya adalah tempat di mana seseorang rasa selesa, yakin dan menjadi diri sendiri tanpa rasa takut.

“Tetapi bagi mereka yang berketurunan India rakyat Malaysia, atau etnik minoriti lain di negara ini, ada banyak stigma dan diskriminasi.

“Semua ini secara amnya menunjukkan, ini bukan rumah apabila seseorang berdepan diskriminasi seumpama ini,” katanya.

Mogan berkata dokumentari itu bukan dalam bentuk protes tetapi ia bagi mewujudkan pemahaman dan pandangan potret sosial masyarakat kaum itu di negara ini.

Beliau berharap dapat memberikan sisi sebenar masyarakat India dan bukannya sama seperti apa yang dilabelkan kepada mereka.

“Ada banyak salah faham, terlalu banyak stigma tenta masyarakat India rakyat Malaysia.

“Amat penting untuk masyarakat India dibenarkan bersuara tentang apa dan siapa mereka sebenarnya.

“Cukup-cukuplah dengan label ‘India mabuk’ atau ‘India gangsters’,” katanya.

Kaum India di Malaysia membentuk 6.8% daripada keseluruhan populasi negara.

Kebanyakan India rakyat Malaysia pada masa ini adalah keturunan pendatang yang dibawa masuk ke negara ini oleh penjajah British pada abad ke-19.

Selepas penjajahan British tamat pada 1957, sebahagian pendatang India pulang ke negara asal, sementara majoritinya memilih untuk tinggal di negara ini yang pada masa itu digelar Tanah Melayu. – 17 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen