POLIS Kenya pada Selasa menemukan mayat seorang pegawai pilihan raya yang hilang semasa pengiraan undi selepas pilihan raya minggu lalu di negara Afrika Timur itu, lapor Agensi Anadolu.
“Mangsa dikenal pasti sebagai Daniel Mbolu Musyoka,” kata laporan polis di kawasan Loitokitok, tenggara ibu kota Nairobi.
Mbolu yang dilaporkan hilang selepas pilihan raya pada 11 Ogos ditemukan dibunuh dan dibuang dalam semak.
“Beliau berkhidmat sebagai pegawai pengurus pilihan raya di pusat mengundi timur Embakasi,” tambah kenyataan itu.
Polis yang tiba di tempat kejadian memberitahu media tempatan bahawa Mbolu nampaknya telah diseksa hingga mati namun setakat ini, motifnya tidak jelas.
Ini berlaku selepas Suruhanjaya Pilihan Raya dan Sempadan Bebas (IEBC) Kenya, mengumumkan pada Isnin bahawa dua daripada tujuh pesuruhjayanya cedera dalam pergelutan di Bomas, pusat penjumlahan nasional di Nairobi.
“Ia perjalanan yang sukar, sekarang dua pesuruhjaya saya dan Ketua Pegawai Eksekutif cedera dan sedang menerima rawatan,” kata ketua IEBC Wafula Chebukati sambil mengumumkan bahawa William Samoei Ruto memenangi pilihan raya presiden itu.
“Ada juga petugas kami yang ditangkap tanpa sebab, sebahagiannya daripada pusat ini, tetapi kami mempunyai kewajipan perlembagaan untuk dilaksanakan dan itulah sebabnya saya berdiri di sini walaupun diugut,” tambahnya.
Tunjuk perasaan tercetus di kubu kuat pembangkang di seluruh Kenya selepas suruhanjaya pilihan raya mengumumkan Ruto sebagai presiden kelima Kenya.
Beliau memenangi pilihan raya dengan 7,176,141 undi, menewaskan pesaing utamanya, bekas Perdana Menteri Raila Odinga yang berusia 77 tahun, yang memperoleh 6,942,930 undi.
Peguam pembangkang memberitahu media pihaknya akan mengemukakan bantahan mahkamah terhadap keputusan itu.
Pada 2017, pengarah maklumat suruhanjaya ketika itu, Chris Msando, didapati dibunuh dengan sebelah tangannya dipotong hanya seminggu sebelum pilihan raya berlangsung yang dicemari oleh penyelewengan.
Ruto, yang diumum sebagai presiden pada Isnin, berjanji untuk menghormati undang-undang jika pembangkang mencabar keputusan pilihan raya di mahkamah. – Bernama, 16 Ogos, 2022.
Komen