5 doktor akan didakwa terima rasuah, salah guna kuasa di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang akan mendakwa tujuh orang esok atas dakwaan manipulasi perkhidmatan awam berkaitan dengan pembaharuan lesen kenderaan.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Abdul Aziz Aban berkata empat daripada mereka akan didakwa di mahkamah George Town dan dua lagi akan dibawa ke mahkamah Butterworth untuk didakwa.

”Seorang lagi suspek yang sepatutnya didakwa di mahkamah Butterworth esok sedang mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. Jadi hanya dua suspek akan didakwa terlebih dahulu,” katanya kepada wartawan hari ini.

Difahamkan yang lima orang yang akan didakwa itu ialah doktor. Seorang lagi suspek akan didakwa di Perak.

Febuari lepas, SPRM menahan tujuh doktor, termasuk seorang yang berkhidmat di hospital kerajaan dan tiga orang lagi ialah seorang pembantu klinik berusia 41 tahun dan dua orang tengah.

Tangkapan itu dilakukan susulan siasatan atas dakwaan yang doktor itu menyalahguna kuasa jawatan mereka untuk meluluskan pemeriksaan kesihatan untuk memperbaharui lesen PSV tanpa memeriksa pemohon.

SPRM juga menyerbu tujuh klinik di Bukit Mertajam, Baru Ferringhi, Pekan Lama, Gelugor dan Prai, dua kedai dan sebuah kiosk persendirian.

Dalam hal yang berlainan, Aziz mengatakan yang walaupun hampir 30 laporan mendakwa wujudnya salah guna kuasa dan rasuah di jabatan pendidikan Pulau Pinang sejak dua tahun lepas, jabatan itu didapati bersih.

Katanya siasatan mendedahkan yang tidak ada unsur salah laku dalam jabatan itu.

“Setakat ini jabatan itu bebas korupsi,” katanya kepada media hari ini selepas merasmikan ikrar anti korupsi jabatan pendidikan negeri.

Dilaporkan antara tahun 2015 sehingga 2017, SPRM negeri menerima 29 laporan mendakwa wujudnya rasuah dan salah guna kuasa di jabatan itu.

Aziz berkata ketika dia ditempatkan di negeri lain, dia menangani satu kes melibatkan sembilan guru, termasuk seorang guru besar, ditahan.

Katanya guru boleh terlibat dalam masalah sekiranya menyalahguna sumbangan, menggunakan dana sekolah untuk kegunaan peribadi, memberikan kontrak pembekalan kepada perniagaan yang dimiliki pasangan mereka.

Dia menggesa penjawat awam untuk mematuhi peraturan dan melaporkan sekiranya mengetahui ada pihak yang menerima rasuah.

Dalam ucapan yang sama, Aziz juga berkata yang SPRM Pulau Pinang sudah menahan 45 orang kerana rasuah sehingga 28 Mei tahun ini.

Katanya 22 orang yang ditahan ialah penjawat awam dan 15 orang daripada sektor swasta. Baki selebihnya ialah orang awam. – 29 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen