SEBUAH kapal penyelidikan China berlabuh di pelabuhan selatan Hambantota yang dikendalikan oleh China di Sri Lanka pada Selasa walaupun terdapat kebimbangan dari India dan Amerika Syarikat (AS) mengenai dakwaan aktiviti pengintipannya.
Yuan Wang 5 memasuki pelabuhan selepas mendapat kebenaran untuk memasuki perairan Sri Lanka dengan syarat ia tidak akan terlibat dalam sebarang penyelidikan, kata pegawai pelabuhan.
Ia pada asalnya dijangka tiba minggu lalu, namun Colombo meminta Beijing menangguhkan lawatan itu berikutan bantahan oleh India, yang berkongsi kebimbangan Barat mengenai aktiviti China di rantau itu.
Namun pada Sabtu, selepas rundingan, Colombo mengumumkan pusingan U, berkata kebenaran telah diberikan untuk kapal itu berlabuh di Hambantota untuk enam hari bagi mengisi minyak dan mengambil bekalan lain.
Laman web analisis penghantaran menggambarkan Yuan Wang 5 sebagai kapal penyelidikan dan tinjauan, tetapi menurut media India ia adalah kapal pengintip dwiguna.
Tiada kumpulan tentera yang menyambut kapal itu, tetapi sekumpulan kecil penari dan pemain dram tradisional Kandyan membuat persembahan di atas permaidani merah.
Turut berlabuh adalah lima penggubal undang-undang, tetapi tiada ahli politik kanan atau orang kenamaan lain yang hadir.
“Hidup China dan Sri Lanka,” tulis sepanduk merah-putih di dek atas kapal itu, yang mempunyai sekurang-kurangnya empat antena parabola mengarah ke langit.
Pelabuhan Hambantota telah dikendalikan oleh China sejak 2017, apabila mereka mengambilnya dengan pajakan 99 tahun dengan harga AS$1.12 bilion, kurang daripada $1.4 bilion yang dibayar oleh Sri Lanka kepada firma China untuk membinanya.
New Delhi curiga dengan kehadiran Beijing yang semakin meningkat di Lautan Hindi dan pengaruh di Sri Lanka, memandangkan kedua-duanya berada dalam lingkungan pengaruhnya.
Kedua-dua India dan AS telah menimbulkan kebimbangan keselamatan mengenai lawatan kapal itu ke Sri Lanka, dengan New Delhi membuat aduan kepada Colombo. – AFP, 16 Ogos, 2022.
Komen