Shanghai huru-hara angkara dua kes Covid


Orang ramai dilihat cuba melepasi kakitangan Ikea di Shanghai selepas kedai perabot itu menghentikan operasi selepas dilaporkan kemungkinan dua orang dijangkiti Covid. – Gambar Faceboo, 16 Ogos, 2022.

CUMA dua kemungkinan kes Covid-19 di Shanghai, China namun ia telah mencetuskan keadaan huru-hara, dengan orang ramai dilihat menyerbu kedai perabot Ikea dalam percubaan mengelak dari perintah berkurung di bawah peraturan ketat koronavirus republik komunis itu.

Strategi sifar-Covid negara melibatkan sekatan dan kuarantin serta-merta, kadangkala hanya dalam segelintir kes, dan langkah itu telah mencetuskan kebimbangan dan kemarahan di beberapa bandar.

Video yang dikongsi secara meluas di media sosial dan disahkan oleh AFP menunjukkan sekumpulan kecil kakitangan berpakaian PPE cuba memastikan pintu utama bangunan Ikea di Shanghai yang ditutup pada Jumaat selepas seorang pekerja di sana dikenal pasti sebagai kontak rapat kes Covid.

Orang ramai kemudian dilihat melepasi kakitangan yang sedikit itu, melarikan diri dari bangunan itu ketika penonton merakam adegan itu dengan telefon bimbit mereka.

Beberapa orang dilihat menyeret apa yang kelihatan seperti penghadang logam ketika mereka melarikan diri dari pusat beli-belah itu.

Kontak rapat boleh menyebabkan seseorang itu dikuarantin lama di bawah pemantauan ketat peraturan kesihatan China.

Adegan serupa berlaku di kedai Ikea di daerah Xuhui Shanghai pada Sabtu, apabila pihak berkuasa kesihatan cuba mengunci pelanggan di lokasi kerana keputusan ujian “tidak normal”.

Klip video yang dikongsi dalam talian menunjukkan sekumpulan besar orang cuba lari.

25 juta penduduk Shanghai – bandar terbesar di China – telah bergelut dengan peraturan Covid yang keras sejak awal tahun ini, apabila ia ditutup selama dua bulan untuk membendung wabak.

Langkah-langkah itu menjejaskan aktiviti perniagaan dan beberapa penduduk melaporkan masalah untuk mengakses makanan dan rawatan perubatan bukan Covid.

Penduduk turut mencetuskan bantahan terhadap pihak berkuasa. – AFP, 16 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen