BILANGAN pekerja di Amerika Syarikat (AS) merosot sejak permulaan pandemik Covid-19 disebabkan persaraan awal, kadar imigrasi yang lebih rendah dan populasi yang semakin menua, yang akan memburukkan lagi kekurangan tenaga buruh, lapor Xinhua memetik laporan AFP.
Menurut data terkini yang dikeluarkan Dewan Perniagaan AS, pada Jun, lebih 10 juta peluang pekerjaan tidak diisi manakala bilangan pencari kerja pula kurang daripada 6 juta.
Ramai yang berhenti kerja pada musim bunga 2020 apabila pandemik mula melanda ekonomi AS. Berjuta-juta orang memilih untuk bersara awal, kerana bimbang akan kesihatan mereka dan memiliki aset yang mencukupi berikutan prestasi pasaran saham yang memberangsangkan ketika itu serta nilai hartanah yang tinggi, lapor AFP, memetik penganalisis.
Seorang penganalisis mengingatkan adalah sukar untuk mendapatkan semula tenaga kerja seperti sebelum pandemik dalam jangka pendek, ditambah dengan populasi yang semakin menua.
Selain itu, sekatan yang dikenakan oleh pentadbiran Donald Trump dan kesan wabak itu secara drastik mengurangkan bilangan warga asing yang memasuki AS.
Penganalisis yang dipetik media Perancis mencadangkan langkah diambil untuk mengurangkan kekurangan pekerja, termasuk memperlahankan kegemaran membeli-belah rakyat AS supaya syarikat tidak memerlukan lebih pekerja. – Bernama, 16 Ogos, 2022.
Komen