5 rakyat Eropah didakwa di wilayah pemisah Russia


Anggota tentera Ukraine berkawal di barisan depan sebuah kampung berhampiran Velyka Novosilka, di wilayah Donetsk. Russia menceroboh Ukraine sejak 24 Februari menyebabkan kematian orang awam dan kemusnahan harta benda. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2022.

SEBUAH mahkamah ditadbir puak pemisah pro-Russia yang disokong Kremlin membicarakan lima warga Eropah semalam di Donetsk, lapor media Russia.

Mereka adalah Mathias Gustafsson dari Sweden, Vjekoslav Prebeg (Croatia) dan John Harding, Andrew Hill serta Dylan Healy dari Britain, yang kesemuanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan menjadi askar upahan, menurut akhbar Russia.

Mereka mungkin menghadapi hukuman mati di bawah undang-undang digubal sendiri Republik Rakyat Donetsk, yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada Oktober ini, lapor media Russia.

Harding, Prebeg dan Gustafsson ditahan di bandar pelabuhan Mariupol di Ukraine dan mungkin dijatuhi hukuman mati kerana dituduh cuba merampas kuasa guna kekerasan dan mengambil bahagian dalam konflik bersenjata sebagai askar upahan, lapor agensi berita RIA Novosti.

Hill menghadapi pertuduhan menjadi askar upahan manakala Healy dibicarakan kerana mengambil bahagian dalam proses merekrut askar upahan untuk ke Ukraine.

Pada 9 Jun, Mahkamah Agung di Republik Rakyat Donetsk menjatuhkan hukuman mati terhadap dua warga Britain dan seorang dari Maghribi atas kesalahan menjadi askar upahan, selepas ditahan pasukan pro-Russia di pusat perindustrian Ukraine di timur.

Ketiga-tiganya mengemukakan rayuan. Russia memperkenalkan moratorium terhadap hukuman mati sejak 1997 tetapi bidang kuasa itu tidak merangkumi wilayah dikuasai puak pemisah. – AFP, 16 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen