MAHKAMAH junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Aung San Suu Kyi atas kesalahan rasuah, kata sumber.
Pemimpin yang digulingkan itu kini secara keseluruhan dijatuhkan hukuman penjara 17 tahun.
Suu Kyi, 77, ditahan sejak tentera menggulingkan kerajaannya dalam satu rampasan kuasa pada 1 Februari tahun lalu, menamatkan tempoh pemerintahan demokrasi negara itu yang terlalu sekejap.
Beliau sejak itu dikenakan beberapa siri pertuduhan termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya.
Beliau berdepan hukuman penjara selama berdekad jika disabitkan bersalah semua pertuduhan
Suu Kyi dikenakan hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah bagi empat pertuduhan rasuah, kata sumber yang minta dirahsiakan nama kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.
Setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 15 tahun. Suu Kyi dijatuhkan hukuman tiga tahun bagi setiap pertuduhan tetpai tiga hukuman itu dijalankan secara serentak, kata sumber.
Beliau dalam keadaan sihat ketika tampil di mahkamah dan tidak membuat kenyataan susulan hukuman itu, kata mereka.
Jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Penerima anugerah Nobel itu sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun kerana rasuah, mencetuskan kebencian terhadap tentera, melanggar peraturan Covid-19 dan undang-undang telekomunikasi.
Wartawan tidak dibenarkan menghadiri prosiding mahkamah dan peguam Suu Kyi dilarang bercakap kepada media. – AFP, 16 Ogos, 2022.
Komen