BEIJING bersedia untuk mengukuhkan kerjasama dengan Kabul dalam sektor perdagangan, ekonomi dan tenaga memandangkan Afghanistan masih di “peringkat kritikal dalam peralihan tadbir urus,” menurut Kementerian Luar China lapor Sputnik pada Isnin.
“Kami bersedia untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan Afghanistan dalam sektor seperti perdagangan dan ekonomi, komunikasi, pertanian dan tenaga,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Beijing menyokong pelaburan China di Afghanistan dan terus menggalakkan pembangunan projek berkaitan di negara itu, sambil menyeru masyarakat global untuk mengekalkan hubungan dengan kerajaan sementara Afghanistan.
“Masyarakat antarabangsa harus mengekalkan hubungan dengan kerajaan sementara Afghanistan serta memudahcara penubuhan kerajaan yang kukuh dan inklusif serta memiliki tadbir urus berhemat,” menurut kenyataan itu.
Beijing turut memperuntukkan kira-kira 350 juta yuan (AS$52 juta) bantuan kemanusiaan kepada Kabul melalui saluran pelbagai hala sepanjang tahun lalu, termasuk makanan, ubat-ubatan, vaksin dan pakaian musim sejuk, serta bersedia untuk terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada negara itu.
Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan Afghanistan pada Ogos 2021.
Kerajaan sementara itu tidak dapat membendung krisis ekonomi, kemanusiaan dan keselamatan sedia ada, yang bertambah buruk sejak setahun lalu.
Ramai rakyat Afghanistan melarikan diri dari tanah air mereka ke negara jiran, termasuk Iran, kerana bimbang masalah pengangguran, kebuluran dan kumpulan gerakan radikal itu sendiri. – Bernama, 15 Ogos, 2022.
Komen