PAS wajar perturun wanita tanding PRU15, kata Muslimat Terengganu


Diyana Ibrahim

Ketua Muslimat PAS Terengganu berkata beliau tidak mahu kaum hawa hanya layak menjadi wakil rakyat yang dilantik di DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2022.

WAKIL rakyat tunggal wanita PAS di Terengganu, Zuraida Md Noor berhasrat lebih ramai wakil kaum itu diperturunkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Muslimat PAS Terengganu itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau tidak mahu kaum hawa hanya layak menjadi wakil rakyat yang dilantik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya rasa menteri besar, exco dalam kerajaan negeri nampak ada kepentingan. Cuma nak ketengahkan calon mestilah yang terbaik kerana ia memberi imej pada parti.

“Tapi saya tidak kata wajib untuk letak kerana apa pun keputusan parti saya akan walak (patuh).

“Tapi dari segi keperluan itu saya nampak adanya keperluan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi dan bukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilantik,” katanya.

Dalam PRU14, PAS tidak meletakkan seorangpun calon wanita di 32 kerusi DUN yang ditandingi parti itu.

Zuraida, 38, merupakan satu-satunya Adun wanita yang dilantik selepas PAS memenangi PRU14 yang dibuat mengikut peruntukan undang-undang tubuh atas cadangan seorang anggota exco.

Mengulas perkara itu, Zuraida yakin PAS negeri sebenarnya tidak ketandusan pemimpin wanita kerana sayap wanita itu mempunyai ramai pemimpin yang berpotensi untuk diketengahkan.

Malah pada masa itu mereka sudahpun mengemukakan beberapa nama calon wanita untuk membarisi senarai calon PAS Terengganu untuk bertanding dalam PRU14.

Bagaimanapun, mereka meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan membuat keputusan sama ada mahu meletakkan calon wanita atau tidak di negeri itu dalam PRU15.

“Sebenarnya kita ada juga calon berwibawa kita cuba ketengahkan. Tapi apa pun kami terima keputusan pimpinan tertinggi

“Biasanya keputusan terserah kepada majlis syura atau pucuk pimpinan tertinggi. Saya menerima keputusan parti mungkin keadaan suasana politik di Terengganu berbeza dengan negeri lain.

“Jadi kita tak adalah nak buat desakan, atau kami nak buat demonstrasi bantah ke sebab kami walak dan letak sepenuhnya keputusan kepada pemimpin,” katanya.

Menyentuh peranannya sebagai Adun wanita lantikan, Zuraida berkata beliau menjadi wakil rakyat paling dicari kaum hawa yang ingin mendapatkan bantuan di negeri itu.

“Biasanya saya akan jadi tempat rujukan (untuk) buat aduan. Biarpun ada wakil rakyat mereka tapi mungkin mereka lebih senang berkongsi dengan saya kerana saya wanita.

“Kadang mereka malu atau tidak selesa berkongsi masalah dengan lelaki. Jadi di sinilah peranan saya,” katanya yang mula menceburi politik sejak 2007.

Katanya, wanita berkenaan sering mengadu isu seperti suami penagih dadah, pengabaian nafkah, serta masalah dalam proses perceraian yang menyebabkan penganiayaan kepada golongan itu.

Beliau membangkitkan isu berkenaan di DUN selain mengesyorkan kerajaan negeri mewujudkan rumah perlindungan sementara untuk wanita di masjid seperti dilakukan kerajaan pusat.

Zuraida melihat, masih belum ada lagi rumah perlindungan wanita dikelola kerajaan negeri di Terengganu.

“Saya ada lontar cadangan itu di dewan persidangan tapi saya faham untuk mewujudkan rumah perlindungan sudah tentu kerajaan negeri memerlukan masa.

“Namun kerajaan negeri selalu menyokong usaha tersebut termasuk yang digerakkan oleh badan bukan kerajaan dengan memberi bantuan dana atau sumbangan makanan,” katanya.

Tugasnya itu juga membolehkan beliau bekerjasama dengan Adun dan exco lelaki walaupun beliau merupakan satu-satunya wakil rakyat wanita dalam kerajaan negeri.

Zuraida berkata sebagai Adun wanita, ia memberi kelebihan kerana bidang tugasnya itu turut melibatkan rakyat di kawasan DUN lain.

“Wanita ada di semua DUN, contohnya kalau di DUN Ladang, mereka jumpa saya cerita masalah mereka. Untuk dapatkan bantuan saya pun akan rujuk dengan pusat Adun tersebut.

“Begitu juga jika saya nak buat program yang memerlukan saya berhubung dengan exco, seperti buat program pertanian jadi saya terlibat semua exco.

“Dan tak ada halangan biarpun saya seorang Adun wanita mereka cukup faham tugas saya,” katanya yang turut mengadakan program ceramah untuk menyebar ilmu nilai kekeluargaan.– 16 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen