KEPULAUAN Marshall mengisytiharkan darurat kesihatan selepas varian Covid Omicron yang merebak pantas menjangkiti lebih satu persepuluh penduduk di ibu negara Majuro dalam masa seminggu.
Sejak kes komuniti positif disahkan pada 8 Ogos, jumlah itu telah melonjak kepada 2,800 di bandar yang mempunyai 22,500 penduduk.
“Kami sedang bersiap sedia untuk menghadapi bahagian paling sukar dalam wabak sekarang di Majuro,” kata Setiausaha Kesihatan Jack Niedenthal pada Isnin.
Kepulauan Marshall sebelum ini adalah salah satu negara terakhir yang kekal bebas Covid berikutan peraturan kuarantin yang ketat.
“Negara lain mendahului kita membuatkan kita benar-benar memahami secara epidemiologi bagaimana varian virus ini merebak: seperti kebakaran,” tambah Niedenthal.
Pada Jumaat, Presiden Marshalls David Kabua menandatangani “Darurat Kesihatan” untuk memberi kerajaan akses kepada pembiayaan kecemasan.
Setakat ini, terdapat 3,000 kes positif dalam populasi sekitar 42,000 di seluruh pulau dan atol yang terdiri daripada Marshalls.
Niedenthal memberi amaran bahawa wabak itu terus menular di Majuro, apabila jumlah kes meningkat dua kali ganda dari Sabtu hingga Ahad.
“Kira-kira 75 peratus daripada orang yang kami uji adalah positif, yang mana ia merupakan kadar yang sangat tinggi,” katanya.
Setakat ini, tiga kematian telah dilaporkan. – AFP, 15 Ogos, 2022.
Komen