HYUNDAI Motor Group Korea Selatan menduduki tempat ketiga dalam jualan kenderaan global model mewah pada separuh pertama meskipun berdepan kekurangan cip automotif, lapor Yonhap.
Hyundai Motor Co, menerusi jenama Genesis dan rangkaian sekutu Hyundai Kia Corp, menjual sejumlah 3.299 juta kenderaan di pasaran global dalam tempoh Januari-Jun, manakala 5.138 juta terjual bagi unit Toyota Motor Group dan 4.006 juta unit oleh Volkswagen Group, mengikut data jualan.
Dalam tempoh enam bulan pertama, peningkatan jualan model Genesis, Hyundai IONIQ 5 serba elektrik dan Kia EV6 elektrik tulen telah meningkatkan jualan pengeluar kereta Korea itu.
Kedudukan kumpulan itu melonjak daripada tangga kelima dengan jualan sebanyak 3.475 juta kenderaan pada separuh pertama 2021.
Jualan separuh pertama syarikat pengeluar kereta Korea itu turun 5.1 peratus daripada tahun sebelumnya, jauh lebih baik berbanding pesaing globalnya.
Jualan Toyota Group merosot 6 peratus, manakala Volkswagen Group turun 14 peratus, Stellantis turun 16 peratus, dan General Motors Co menjunam 19 peratus. – Bernama, 15 Ogos, 2022.
Komen