SEORANG pegawai kerajaan Iran menafikan Tehran terbabit dalam serangan yang mencederakan penulis kontroversi, Salman Rushdie.
Kenyataan jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani itu adalah kenyataan umum pertama negara itu sejak penulis novel ‘The Staanic Verses’ cedera ditikam di atas pentas pada satu majlis di Institut Chautauqua, New York pada 12 Ogos lalu.
“Kami, dalam insiden serangan ke atas Salman Rushdie di Amerika Syarikat (AS), tidak menganggap sesiapa pun patut dipersalahkan dan dituduh kecuali dia (Salman) dan penyokongnya.
“Tiada sesiapa berhak menuduh Iran dalam hal ini,” katanya dalam satu taklimat kepada media.
Rushdie, penulis kelahiran India hidup dalam ‘buruan’ sejak penerbitan novel ‘The Satanic Verses’ pada 1988 yang dilihat sebilangan umat Islam sebagai mengandungi petikan yang menghina agama.
Pada 1989, pemimpin tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini mengeluarkan fatwa, menyeru umat Islam membunuh penulis novel itu dan sesiapa sahaja yang terbabit dalam penerbitan buku berkenaan.
Kerajaan Iran berkata, pada 1998 ia tidak lagi menyokong fatwa itu dan Rushdie hidup bebas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau turut menyatakan, Iran tidak mempunyai maklumat lain mengenai penyerang Rushdie kecuali apa yang dipaparkan dalam media. – AFP, 15 Ogos, 2022.
Komen