Kemboja tangkap lebih 9,100 suspek dadah dalam 7 bulan


KEMBOJA menyaksikan peningkatan ketara dalam  penangkapan dan rampasan dadah sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kata Jabatan Polis Antidadah (ADP), lapor Agensi Berita Vietnam.

Pihak berkuasa Kemboja menahan 9,151 suspek berkaitan dadah dalam tempoh Januari-Julai tahun ini, meningkat 16% berbanding 7,876 dalam tempoh yang sama tahun lepas, katanya sambil menambah kira-kira 3.27 tan metrik dadah terlarang dirampas, meningkat hampir 240% daripada 963kg sebelumnya.

Antara jenis dadah yang dirampas termasuk heroin, ekstasi, kokain, kristal methamphetamine, pil methamphetamine, cathinone dan ketamin.

Selain itu, kira-kira 201 tan metrik bahan dadah, 17 pucuk pistol, 31 raifal dan banyak kenderaan serta peralatan yang dirampas daripada suspek.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menggesa usaha bersepadu untuk memerangi penyalahgunaan dadah dengan mengatakan memerangi dadah terlarang adalah keutamaan.

Negara Asia Tenggara itu tidak mempunyai hukuman mati bagi pengedar dadah. Di bawah undang-undangnya, sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih 80 gram dadah terlarang boleh dikenakan penjara seumur hidup. – Bernama, 15 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen