Polis tahan penembak di lapangan terbang Canberra


Lapangan terbang Canberra terpaksa dikosongkan dan ditutup, menyebabkan semua penerbangan tergendala susulan insiden tembakan rambang. – Gambar EPA, 15 Ogos, 2022.

SEORANG lelaki yang melepaskan lima tembakan rambang di dalam lapangan terbang Canberra semalam hingga menyebabkan orang ramai bertempiaran lari, ditahan polis Australia.

Imej dimuat naik di media sosial menunjukkan seorang pegawai polis menahan seorang lelaki di dalam kawasan terminal ketika penggera kecemasan berbunyi di lapangan utama ibu kota itu.

Polis berkata suspek ditahan di sebuah balai polis di bandar itu dengan senjata api ditemui dalam pemilikannya.

Suspek masuk ke kawasan pelepasan lapangan terbang pada tengah hari dna duduk hampir dengan tingkap kaca terminal, menurut detektif Dave Craft kepada media.

Beliau berkata suspek menunggu lima minit sebelum melepaskan tembakan.

Lapangan terbang itu kemudian dikosongkan dan ditutup, menyebabkan semua penerbangan tergendala.

Operasi kembali normal selepas lapangan terbang itu dibuka semula lewat petang, namun beberapa penerbangan sudah pun dibatalkan.

Craft berkata siasatan awal mendapati suspek menembak ke arah tingkap kaca di terminal itu.

Tiada tembakan disasarkan kepada penumpang atau kakitangan, katanya. – AFP, 15 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen