3 maut letupan di pasar Armenia


Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan pekerja menggunakan penyodok untuk membersihkan sisa runtuhan di pasar Surmalu. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2022.

SATU letupan yang mencetuskan kebakaran di sebuah pasar di ibu kota Yerevan, Armenia semalam menyebabkan tiga terbunuh sementara berpuluh-puluh lagi cedera, kata pihak berkuasa.

Kebakaran hampir memusnahkan pasar di Surmalu itu, kata laporan awal.

“Data awal menunjukkan satu letupan berlaku, disusuli dengan kebakaran,” kata agensi kecemasan menerusi satu kenyataan, menambah tiga mangsa maut dan 40 lagi dirawat di hospital.

Laporan itu turut menyatakan bangunan berhampiran pasar itu turut runtuh, dengan 25 mangsa mungkin masih terperangkap.

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan pekerja menggunakan penyodok untuk membersihkan sisa runtuhan.

Setakat ini, 10 mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan dengan selamat sementara satu mayat ditemui, kata kementerian.

Pasar borong Surmalu sedang sibuk pada petang semalam ketika letupan berlaku. – AFP, 15 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen