Hishammuddin perlu jawab banyak perkara kegagalan LCS, kata Mat Sabu, Liew


Alfian Z.M. Tahir

Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong berkata, Hishammuddin Hussein cuba meyakinkan orang ramai kapal LCS benar-benar wujud. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Ogos, 2022.

MENTERI Pertahanan Hishammuddin Hussein tidak menunjukkan sebarang komitmen atau keikhlasan dalam mengendalikan skandal kapal tempur pesisir (LCS), kata Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong.

Kedua-duanya, bekas menteri pertahanan dan timbalan menteri pertahanan, turut mempersoalkan rasional membawa wartawan melihat lima LCS yang sedang dalam pembinaan oleh Boustead Naval Shipyard (BNS) di Lumut, Perak, semalam.

“Kenapa kementerian mesti bawa media melihat kapal yang sama sejak 2017 dan apa yang mereka cuba buktikan? Bahawa kapal itu benar-benar wujud dan projek ini masih diteruskan.

“Tetapi menurut media, mereka hanya dibawa melihat badan kapal dan LCS2 hanya boleh dilihat dari jauh. Selebihnya kapal itu tidak kelihatan.

“Sama seperti Najib Razak, Hishammuddin cuba meyakinkan orang ramai kapal itu benar-benar wujud,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Semalam, Hishammuddin berkata kerajaan akan memberi tumpuan untuk meletakkan semula projek LCS di landasan yang betul seperti yang diputuskan oleh Kabinet.

Beliau berkata, rundingan dengan vendor, pengeluar peralatan asli (OEM) dan bank sedang dijalankan.

Hishammuddin berkata demikian berhubung perolehan kapal tempur yang menjadi kontroversi berikutan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu kapal pun disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion menetapkan lima daripada enam kapal perlu disiapkan dan diserahkan pada Ogos 2022.

Mohamad dan Liew berkata, apa yang lebih penting mengenai kapal tempur itu adalah kelengkapan berdasarkan reka bentuk terperinci dan bukannya badan kapal.

Mereka berkata LCS tidak boleh disiapkan tanpa reka bentuk terperinci.

“Najib cuba menyalahkan Pakatan Harapan atas kelewatan itu tetapi PH hanya ada selama 22 bulan. BN berkuasa selama 60 tahun.

“Di bawah PH, projek itu tidak ditangguhkan tetapi boleh diteruskan kerana BNS mempunyai masalah kewangan sendiri. PH sedia menyelamatkan projek itu dengan memberi dana tambahan tetapi kerajaan PH ditumbangkan.

“Tugas Hishammuddin bukan untuk menutup atau menyembunyikan kebenaran. Beliau perlu menjawab beberapa perkara,” kata mereka.

Mohamad dan Liew turut mengemukakan enam soalan yang perlu dijawab Hishammuddin.

1) Adakah projek LCS dimulakan untuk membiayai hutang lapuk BNS? (RM745 juta dana LCS digunakan untuk membiayai hutang lapuk Kapal Peronda Generasi Baharu. Najib cuba “menghalalkan” pembayaran ini.

2) Siapa yang bertanggungjawab bagi pertukaran sistem dari Sigma ke Gowind? (Menurut Laporan PAC, bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi menukar sistem pada Julai 2011 tanpa memaklumkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia. Ketika itu Najib perdana menteri dan menteri kewangan)

3) Daripada RM6.08 bilion yang diberikan kepada BNS, berapa banyak yang digelapkan dan hilang tanpa jejak?

4) Bilakah reka bentuk terperinci yang dijadualkan siap pada November 2016 boleh dimuktamadkan?

5) Berapakah jumlah dana yang disuntik untuk memulihkan projek LCS? (Pada 2021, BNS mencadangkan untuk menerbitkan sukuk berjumlah RM4 bilion sebagai tambahan kepada baki RM3 bilion daripada peruntukan asal projek LCS. Adakah BNS memerlukan RM7 bilion lagi selepas RM6.08 bilion diberikan?)

6) Apakah jadual terkini penyerahan kapal oleh BNS kepada TLDM? (Kami faham jika projek LCS bermula sekarang, LCS1 hanya akan diserahkan kepada TLDM pada 2026). – 14 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen