Ingat 1MDB, rakyat usah tertipu lagi, kata Syed Saddiq


Ravin Palanisamy

Penjelasan yang diberikan kerajaan adalah pengkhianatan terbesar kepada rakyat, kata Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika tunjuk perasaan di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2022.

RAKYAT Malaysia tidak sepatutnya mudah terpengaruh dengan penjelasan kerajaan mengenai skandal berbilion ringgit kapal tempur pesisir (LCS), kata Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

Membandingkan projek LCS dengan skandal terbesar dalam sejarah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Syed Saddiq berkata penjelasan yang diberikan kerajaan adalah “pengkhianatan terbesar” kepada rakyat.

“Ini (skandal LSC) bukan sesuatu yang kecil.

“Ini adalah pengkhianatan terbesar di negara tercinta kita.

“Kedaulatan negara dipertaruhkan kerana cara kerajaan mengendalikan skandal itu,” kata ahli Parlimen Muar ketika protes “Mana Kapal LCS”, hari ini.

Kumpulan yang menganjurkan tunjuk perasaan itu mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan, iaitu menyiasat keberadaan kapal itu dan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Selain itu, kumpulan tersebut turut menggesa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan kerana gagal bertindak terhadap aduan yang dibuat panglima tentera laut ketika itu Abdul Aziz Jaafar mengenai pembelian kapal berkenaan.

Projek LCS merupakan perolehan terbesar dalam sejarah kementerian, dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

Hampir 200 orang menghadiri protes di pusat bandar hari ini, termasuk Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Howard Lee, Setiausaha Agung Muda Amira Aisya dan Ketua Pemuda Amanah Selangor Abbas Azmi.

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan mengenai pembelian LCS oleh kementerian daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd melalui rundingan terus.

Selain “Mana Kapal LCS”, penunjuk perasaan turut membawa sepanduk yang menggesa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2022.

Syed Saddiq berkata hujah yang diberikan mereka dalam kerajaan adalah tidak berasas dan menambah janji serupa diberikan ketika skandal 1MDB dibongkar.

“Mereka berkata projek (LCS) diberikan kepada syarikat (berkaitan) kerajaan dan ia menghasilkan dividen serta akan memberi manfaat kepada veteran tentera.

“Ketika kita memerangi skandal 1MDB, mereka (kerajaan ketika itu) berkata perkara yang serupa, di mana mereka mengatakan 1MDB adalah syarikat kerajaan dan yang akan mendapat manfaat adalah rakyat Malaysia.

“Tetapi hari ini, kebenaran didedahkan. Terbukti berbilion wang rakyat dibazirkan begitu sahaja.

“Dua mahkamah membuktikannya dengan mengeluarkan keputusan ke atas kes (1MDB). Jadi, jangan terpengaruh dengan penipuan mereka (kerajaan),” kata bekas menteri belia dan sukan itu.

Syed Saddiq berkata, nasib veteran dan anggota pertahanan adalah serupa dengan mereka yang menjadi mangsa skandal 1MDB.

“Nasib mereka (veteran tentera) terancam kerana rasuah di peringkat tertinggi,” katanya. – 14 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen