RM6 bilion bina LCS boleh diguna untuk perkara lebih berfaedah, kata Muda


Ravin Palanisamy

Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Luqman Long, berkata beliau tidak mempertikaikan peruntukan yang diberikan kepada kementerian pertahanan tetapi kecewa kerana wang yang dikeluarkan tidak menunjukkan sebarang hasil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2022.

BAYARAN awal sebanyak RM6 bilion yang dibelanjakan kerajaan untuk membina enam kapal tempur pesisir (LSC) boleh digunakan untuk perkara lebih berfaedah, kata penunjuk perasaan hari ini.

Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Luqman Long, berkata beliau tidak mempertikaikan peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pertahanan demi penambahbaikan pertahanan negara tetapi kecewa kerana wang yang dikeluarkan tidak menunjukkan sebarang hasil sambil mendakwa kerajaan menyalahgunakan dana awam.

“Apa yang kita boleh buat dengan RM6 bilion itu?

“RM6 bilion ini boleh digunakan untuk membina 243 sekolah, boleh membina 108,000 rumah, dan boleh memberi sarapan percuma kepada 200,000 pelajar dalam tempoh 64 tahun.

“Beritahu ini kepada ibu bapa, rakan-rakan, saudara-mara dan jiran-jiran anda.

“Tetapi saya tidak mahu wang itu digunakan untuk pendidikan atau perumahan kerana dana itu dikhususkan untuk tentera kita.

“Dana itu adalah untuk Tentera Laut Malaysia kita tetapi sudah lebih 12 tahun (sejak kontrak dipersetujui dan ditandatangani) namun tiada satu kapal pun dapat dilihat,” kata Luqman kepada penunjuk perasaan ketika protes Mana Kapal LCS, di Kuala Lumpur hari ini.

Projek LCS itu merupakan perolehan terbesar dalam sejarah kementerian, dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

Antara sepanduk yang dibawa penunjuk perasaan ketika protes “Mana Kapal LCS” di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2022.

Hampir 200 orang menghadiri protes di pusat bandar hari ini, termasuk Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Howard Lee, Setiausaha Agung Muda Amira Aisya dan Ketua Pemuda Amanah Selangor Abbas Azmi.

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan mengenai pembelian LCS oleh kementerian daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd melalui rundingan terus.

Walaupun kerajaan membayar RM6.08 bilion untuk kos projek itu, namun tiada satu pun kapal yang sudah siap dihantar.

Mengikut jadual asal, lima kapal LCS sepatutnya dihantar kepada kementerian bulan ini.

Luqman juga menggesa menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein yang menyelia projek ini ketika memegang portfolio yang sama dalam tempoh empat tahunnya sebelum ini, ditahan kerana kegagalannya untuk menyelesaikan projek itu. – 14 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen