KOREA Utara membidas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres susulan kenyataan berbahaya dikeluarkannya yang menyeru penghapusan sepenuhnya senjata nuklear Pyongyang semasa lawatan ke Seoul.
Guterres dalam siri lawatan dua hari ke Korea Selatan menyatakan komitmen jelas bagi penghapusan senjata nuklear Korea Utara, menyifatkannya sebagai objektif asas untuk keamanan, keselamatan dan kestabilan seluruh rantau.
Komennya dibuat ketika pegawai Washington dan Korea Selatan berulang kali memberi amaran mengenai persediaan Korea Utara menjalankan ujian nuklear kali ketujuh.
Naib Menteri Luar Korea Utara Kim Seon Gyeong dalam kenyataan bagaimanapun mengecam Guterres, menuduhnya menunjukkan simpati kepada dasar permusuhan Amerika Syarikat (AS).
Katanya, kesimpulan tidak boleh ditarik balik mengenai penghapusan sepenuhnya senjata nuklear Korea Utara adalah pelanggaran ke atas kedaulatan republik itu.
“Saya sangat kesal dengan kenyataan Antonio (Guterres) yang sangat memihak dan tidak saksama. Beliau dinasihatkan supaya berhati-hati membuat kenyataan dan perbuatan berbahaya seperti mencurah minyak ke api,” katanya seperti disiarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Pyongyang Khamis lalu menyalahkan Seoul susulan wabak Covid-19 di Korea Utara dan mengancam untuk “menghapuskan” pihak berkuasa Seoul.
Korea Utara setakat tahun ini memecahkan rekod ujian senjata, termasuk menembak peluru berpandu balistik antara benua pada jarak penuh buat kali pertama sejak 2017.
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bulan lalu berkata negaranya bersedia menggerakkan penghalang nuklearnya bagi sebarang konflik ketenteraan dengan AS dan Seoul pada masa depan. –AFP, 14 Ogos, 2022.
Komen