Korea Utara tarik balik arahan pakai pelitup muka


Sekatan virus itu dilonggarkan susulan krisis kesihatan awam di Korea Utara tamat sepenuhnya dan keseluruhan wilayah sudah bersih daripada virus dalam tempoh singkat, lapor KCNA. – Gambar EPA, 14 Ogos, 2022.

KOREA Utara menarik balik arahan wajib memakai pelitup muka dan melonggarkan sekatan virus yang lain, lapor media semalam, beberapa hari selepas pemimpinnya, Kim Jong Un isytihar kemenangan terhadap Covid-19.

Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas Pyongyang awam minggu ini menyalahkan Seoul menyebabkan penularan Covid-19 di Utara dan mengugut untuk “menghapuskan” pihak berkuasa Korea Selatan, jika perlu.

Sekatan virus itu dilonggarkan susulan krisis kesihatan awam di negara ini tamat sepenuhnya dan keseluruhan wilayah sudah bersih daripada virus dalam tempoh singkat, lapor agensi berita nasional KCNA.

“Arahan wajib memakai pelitup muka ditarik balik di semua kawasan kecuali bagi barisan petugas hadapan dan sempadan bandar dan negara, memandangkan keseluruhan negara kini zon bebas epidemik,” kata KCNA.

Korea Utara mengumumkan kemenangan terhadap Covid awal minggu ini selepas melaporkan kes pertamanya pada Mei.

Arahan penjarakan sosial turut ditarik balik kecuali di wilayah sempadan.

Tetapi bagi mereka yang ada simptom masalah pernafasan disyorkan memakai pelitup muka dan Korea Utara menasihatkan rakyatnya kekal berhati-hati. – AFP, 14 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen