BN tiada kaitan skandal perolehan kapal LCS, kata pemimpin parti


Diyana Ibrahim

Skandal kapal tempur pesisir (LCS) adalah isu hangat kini selepas siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendapati tiada satupun disiapkan walaupun RM6 bilion sudah dibayar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Ogos, 2022.

BN tidak harus dikaitkan langsung dalam isu skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) kerana ia hanya masalah daripada pengurusan syarikat, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Beliau berkata isu perolehan kapal itu sengaja dimainkan oleh pembangkang untuk memburukkan BN.

“Kenapa masa mereka jadi kerajaan tidak dakwa. (Sebab) itu kita persoalkan sebab mereka gunakan ini untuk burukkan dan kritik BN.

“Saya rasa ini masalah pengurusan tak ada kena mengena dengan parti Umno dan BN,” katanya dalam ucapan di majlis perasmian pelancaran jentera BN Terengganu, di Kemaman hari ini.

Malah jika benar berlaku salah guna kuasa seperti yang didakwa, individu berkaitan perlu dihadapkan ke muka pengadilan yang adil dan tidak hanya sebelah pihak sahaja, katanya lagi.

Pada masa sama Mohamad juga menafikan dakwaan kononnya syarikat pembina kapal terbabit, BNS merupakan kroni Umno.

“Mereka kata ia syarikat kroni Umno, tapi BNS bukan kroni, ia adalah kepunyaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, parti langsung tak ada kena mengena dalam isu ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian sewaktu pemimpin BN khususnya penasihat parti itu, Najib Razak menjadi sasaran serangan ekoran skandal perolehan kapal LCS.

Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati lebih RM6 bilion dibayar kepada pembinanya namun tiada sebuahpun berjaya disiapkan sehingga kini.

Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong antara lain menyalahkan Najib sebagai menteri bertanggungjawab sewaktu skandal berkenaan berlaku.

Projek ini bermula ketika di bawah pentadbiran Najib dan ketika Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjadi menteri pertahanan.

Mengikut jadual asal, sepatutnya lima kapal harus disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan mendedahkan laporan siasatan dan audit forensik dalam kes perolehan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula mengumumkan siasatan dalam kes itu berjaya dilengkapkan dan kini berada di tangan peguam negara. – 13 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen