BN tak akan minta sedekah dengan parti lain, kata Mohamad Hasan


Diyana Ibrahim

Barisan Nasional akan bertanding solo dan mentadbir sendirian sekiranya kuasai majoriti yang cukup, kata Mohamad Hasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2022.

BN muktamad akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), biarpun ramai yang ingin menyertai gabungan parti itu, kata Timbalan Presidennya Mohamad Hasan.

Tambahnya, BN juga akan mentadbir dengan sendirian sekiranya menguasai majoriti yang cukup dalam PRU15.

Beliau berkata BN hanya terbuka untuk berunding dengan parti lain selepas PRU15 jika ia memberi keuntungan kepada gabungan itu untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Kita telah buat keputusan PRU15 BN akan bergerak solo, nak berunding lepas pilihan raya.

“Lepas PRU15 kami akan tengok hala tuju, kompas mana nak tubuh kerajaan dan dengan siapa yang beri keuntungan kepada kita.

“Tapi kalau menang selesa kita akan tubuh kerajaan secara solo tanpa minta sedekah kepada mereka,” katanya sewaktu merasmikan pelancaran jentera BN Terengganu di Kemaman hari ini.

Ditanya sama ada keputusan itu bermaksud BN akan menolak permohonan Parti Bangsa Malaysia, beliau berkata ia masih belum diputuskan.

“Ia hal berlainan kerana PBM minta untuk menjadi sebahagian daripada BN, menjadi ahli kita. Dan kita akan putuskan dalam mesyuarat Isnin ini,” katanya.

Pada Julai lepas, timbalan presiden itu berkata pucuk pimpinan masih belum memutuskan secara muktamad BN akan bertanding secara solo dalam PRU15.

Beliau pada masa itu memberi alasan, tidak ada jaminan yang boleh diberikan BN berhubung perkara itu kerana ia bergantung kepada perkembangan politik semasa.

Pada waktu itu juga, penganalisis politik tidak yakin BN boleh meraih majoriti dalam PRU15 jika bergerak secara solo.

Namun Mohamad tetap yakin BN mampu menang selesa dalam PRU15 ini dengan mensasarkan seberapa banyak kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.  – 13 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen