Peralatan untuk LCS tidak usang, kata Boustead


Raevathi Supramaniam

CEO Boustead Naval Shipyard Kapten Azhar Jumaat menafikan dakwaan yang 15 peratus peralatan disimpan di gudang untuk kapal tempur pesisir adalah usang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Ogos, 2022

KETUA Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Kapten Azhar Jumaat hari ini menafikan dakwaan yang 15 peratus peralatan yang disimpan di gudangnya untuk kapal tempur pesisir (LCS) adalah usang.

Dalam lawatan media yang jarang berlaku di limbungan kapal di Lumut, Perak, Azhar cuba menjelaskan ke mana perginya RM6 bilion untuk projek itu dibelanjakan.

Beliau juga menjelaskan kapal itu memang wujud, dan bukan “wayang kulit” semata-mata.

“Perkara utama yang ingin kita gambarkan ialah RM6 bilion itu tidak hilang atau semua dibelanjakan. Peralatan dan sistem yang kami beli ada dalam simpanan,” kata Azhar ketika lawatan media ke limbungan kapal di Lumut.

“Laporan 15% daripada peralatan sudah usang tidak sepenuhnya tepat kerana ia dalam proses menjadi usang.

“Ia disimpan untuk tempoh yang lama dan memerlukan pemeliharaan dan penyelenggaraan semasa dalam simpanan.

“Semua peralatan itu diperakui dan tidak usang serta boleh digunakan 25 tahun lagi dari sekarang. Ia sedia untuk dipasang.”

Azhar turut menerangkan tentang kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Wong Kah Wong semalam yang berkata barangan seperti televisyen berada dalam simpanan dan kini sudah usang.

“TV bukanlah misi kritikal untuk pertempuran perang, ia untuk digunakan waktu masa lapang.

“TV tidak setanding dengan nilai kapal itu. Ia agak sensasi tetapi kita perlu melihatnya dengan lebih objektif.

“Dalam kontrak asal kami, senjata api, peluru berpandu dan enjin utama, keperluannya ialah ia boleh digunakan selama 30 tahun.

“Jadi tidak ada isu lapuk dalam tempoh masa ini. Ia telah dijamin dalam kontrak,” katanya.

Pihak media juga diterangkan serba sedikit tentang kemudahan penyimpanan di limbungan kapal hari ini.

Barangan yang disimpan di gudang itu bernilai RM1.7 bilion, yang diperoleh menggunakan RM6 bilion yang telah dibelanjakan itu, kata Azhar.

Barangan besar seperti bahagian enjin disimpan dengan kemas di dalam peti simpanan dan disusun di dalam gudang besar.

Barangan elektronik disimpan di gudang berasingan yang dikawal suhu.

Azhar berkata terdapat keperluan untuk membeli alat ganti lebih awal kerana ia dibuat mengikut tempahan.

“Dalam pembinaan kapal terdapat elemen di mana masa utama untuk perolehan adalah sangat panjang,” kata Azhar.

“Untuk enjin utama sahaja, masa yang diperlukan dari Jerman ialah 20 bulan.

“Ia satu aktiviti yang kompleks bukan seperti membina rumah di mana bahan-bahannya tersedia. Untuk sistem prestasi tinggi, ia memerlukan masa.

“Ia bukan perbandingan epal kepada epal dengan pembinaan lain. Ini mengenai pembinaan kapal tentera laut.

“Anda perlu dapatkan semua peralatan ini sebelum kami mula bina atau anda perlu buat bukaan pada struktur kapal untuk dimasukkan ke dalam enjin.

“Ini tidak boleh dilaksanakan, badan kapal itu sensitif dan perlu dilindungi.”

Malaysia kembali digemparkan baru-baru ini dengan isu perolehan LCS yang sudah lama menjadi tumpuan selepas PAC mengeluarkan laporannya mengenai kegagalan perolehan.

Laporan itu mendedahkan ia telah mengadakan sembilan prosiding bermula dari 18 November 2020, yang terakhir diadakan pada 8 Mac tahun ini, dengan memanggil beberapa saksi.

PAC mendapati kontrak itu diberikan kepada BNS melalui rundingan terus, dengan kerajaan membayar RM6.08 bilion, tetapi tidak satu pun LCS dihantar.

Mengikut jadual asal, lima kapal sepatutnya telah siap dan diserahkan pada bulan ini.

Projek itu dimulakan di bawah pentadbiran Najib Razak, ketika presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjadi menteri pertahanan. – 13 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen