FBI rampas dokumen "rahsia penting" dalam serbuan di rumah Trump


Penyokong bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump berdiri di luar kediaman Mar-a-Lago Trump, di tengah-tengah laporan FBI melaksanakan waran geledah sebagai sebahagian daripada siasatan dokumen, di Florida. – Gambar EPA, 13 Ogos, 2022.

EJEN FBI merampas rekod yang ditandakan sebagai “rahsia penting” semasa mereka menggeledah rumah bekas presiden Donald Trump di Florida, menurut dokumen yang didedahkan kepada umum pada Jumaat dalam siasatan yang merangkumi kemungkinan pelanggaran Akta Pengintipan Amerika Syarikat (AS).

Waran geledah dan bahan berkaitan, dibuka oleh hakim Florida, menunjukkan ejen membawa keluar sejumlah besar barangan daripada serbuan itu, yang mencetuskan ribut politik di negara yang sudah berpecah belah.

Waran itu, yang diluluskan sendiri oleh Peguam Negara Merrick Garland, memberi kuasa kepada FBI untuk menggeledah “pejabat 45” – merujuk kepada pejabat peribadi presiden AS ke-45 di kediamannya di Mar-a-Lago – dan bilik simpanan.

Ia mengarahkan mereka merampas dokumen dan rekod “dimiliki secara haram” yang melanggar tiga undang-undang jenayah, termasuk satu di bawah Akta Pengintipan, yang menjadikannya jenayah untuk mendapatkan atau menyimpan maklumat keselamatan negara secara haram.

Trump, yang sedang berkempen untuk kembali ke Rumah Putih pada 2024, mengecam sekeras-kerasnya serbuan FBI di rumahnya itu, mendakwa semua bahan yang dirampas semasa penggeledahan sebelum ini telah “dinyahklasifikasikan.”

“Mereka tidak perlu ‘rampas’ apa-apa,” katanya dalam satu kenyataan di platform Truth Socialnya. “Mereka boleh memilikinya pada bila-bila masa mereka mahu tanpa bermain politik dan menceroboh Mar-a-Lago.”

Pakar undang-undang memberi amaran walaupun waran itu memetik Akta Pengintipan, sebarang kemungkinan pertuduhan masih tidak jelas dan Trump tidak semestinya disyaki mengintip.

Orin Kerr, profesor undang-undang di University of California, Berkeley, bersetuju, berkata “Akta Pengintipan ialah undang-undang yang agak luas tentang salah mengendalikan dokumen sulit, bukan hanya pengintipan.”

Antara rekod yang dirampas semasa serbuan itu ialah dokumen bertanda “Rahsia Penting,” “Rahsia” dan “Sulit.”

Beberapa kertas telah ditandakan “SCI” ​​(maklumat sensitif), yang bermaksud ia hanya boleh dilihat di kemudahan kerajaan yang selamat. – AFP, 13 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen