AS tingkat perdagangan dengan Taiwan


Amerika Syarikat menegaskan semula penglibatannya dalam Selat Taiwan, mengulangi dasar mengiktiraf China secara diplomatik sambil menyokong pemerintahan sendiri Taiwan. – Gambar EPA, 13 Ogos, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) bertindak balas terhadap tindakan “provokatif” China ke atas Taiwan dengan meningkatkan perdagangan dengan pulau demokrasi itu, menegaskan tentang hak laluan udara dan laut di selat itu, kata Rumah Putih pada Jumaat.

Pelan perdagangan baharu akan didedahkan dalam beberapa hari, manakala tentera AS akan transit di Selat Taiwan dalam beberapa minggu akan datang, kata Kurt Campbell, penyelaras White House untuk isu Asia Pasifik yang juga penasihat Presiden AS Joe Biden.

Campbell memberitahu pemberita komunis China telah menggunakan lawatan kontroversi Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi ke Taiwan baru-baru ini untuk cuba dan ubah status quo pulau itu.

Bertegas yang lawatan Pelosi “konsisten” dengan dasar Washington sedia ada, Campbell berkata China “bertindak berlebihan.”

Beijing menggunakan alasan untuk “melancarkan kempen tekanan yang diperhebatkan terhadap Taiwan untuk cuba mengubah status quo, menjejaskan keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan dan di rantau yang lebih luas,” katanya.

“China telah bertindak keterlaluan dan tindakannya terus menjadi provokatif, tidak stabil dan tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Sebagai tindak balas, AS menegaskan semula penglibatannya dalam kawasan itu, mengulangi dasar mengiktiraf China secara diplomatik sambil menyokong pemerintahan sendiri Taiwan.

Campbell berkata pentadbiran akan terus “mengeratkan hubungan kami dengan Taiwan, termasuk untuk terus memajukan hubungan ekonomi dan perdagangan kami.”

Tambahnya AS akan menegaskan semula haknya untuk menggunakan ruang udara dan laut antarabangsa antara Taiwan dan China.

Tentera AS “akan terus terbang, belayar dan beroperasi di tempat yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa, selaras dengan komitmen lama kami terhadap kebebasan pelayaran.”

“Itu termasuk menjalankan transit udara dan maritim standard melalui Selat Taiwan dalam beberapa minggu akan datang,” katanya kepada pemberita. – AFP, 13 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen