KEKURANGAN bekalan vaksin cacar monyet di Amerika Syarikat (AS) mendorong ribuan warga asing, termasuk rakyat Amerika berpusu-pusu ke Montreal untuk mendapatkan suntikan.
Ibu kota wilayah Quebec, yang terletak kira-kira 70km di utara sempadan AS, memutuskan untuk menyediakan vaksin itu kepada semua individu yang menganggap diri mereka berisiko.
Robb Stilson, pengarah seni dari Denver, Colorado, mengambil peluang itu semasa lawatan ke Montreal minggu lepas.
“Sangat sukar mendapatkan vaksin di Amerika,” kata Stilson ketika beratur untuk mendapatkan suntikan di pusat vaksin bersama suami dan dua anak perempuannya.
“Saya ada kawan yang menunggu 8 atau 9 jam untuk masuk.”
Oleh kerana pengesanan kontak yang sukar, pihak berkuasa di Montreal memutuskan untuk menawarkan vaksin itu kepada semua yang berisiko untuk membendung penularan virus itu.
“Sebagai pelancong, mereka mungkin mengambil bahagian dalam aktiviti yang mungkin mendedahkan mereka dan dengan cara lain, kami memerangi wabak dengan membenarkan mereka divaksin di sini supaya tidak menularkan jangkitan sama ada di sini atau apabila mereka pulang ke negara sendiri,” kata Donald Vinh, pakar penyakit berjangkit di Pusat Kesihatan Universiti McGill, memberitahu AFP.
Sejak kempen vaksinasi dilancarkan pada pertengahan Mei, sebaik sahaja kes pertama cacar monyet dikesan, Montreal menyuntik 18,500 orang dengan 13% daripadanya warga asing.
Matlamatnya adalah untuk menyediakan 25,000 dos dan memberi suntikan kepada 75-80% populasi yang dianggap berisiko, khususnya lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki atau dengan berbilang pasangan.
“Saya berharap strategi yang digunakan oleh agensi kesihatan awam Montreal menjadi contoh agensi kesihatan awam lain untuk digunakan sebagai strategi vaksinasi,” tambah Vinh.
Di wilayah barat British Columbia, pihak berkuasa kesihatan memutuskan minggu lalu mereka tidak akan lagi menawarkan vaksin itu kepada warga asing kerana bekalan terhad dan fakta bekalan semakin banyak di AS.
Menghadapi kekurangan dos, pihak berkuasa kesihatan Amerika pada Selasa membenarkan prosedur suntikan baharu yang akan memungkinkan untuk menyuntik lima kali ganda bilangan individu dengan jumlah ubat yang sama.
Setakat 11 Ogos, Kanada mencatatkan 1,059 kes cacar monyet yang disahkan, tetapi pihak berkuasa melihat tanda-tanda jangkitan mula perlahan. – AFP, 13 Ogos, 2022.
Komen