PELAKON Hollywood Anne Heche diisytiharkan meninggal dunia, seminggu selepas kereta dipandunya merempuh sebuah bangunan di Los Angeles, kata seorang jurucakap semalam.
Heche, 53, koma di hospital dengan kecederaan otak yang teruk sejak insiden 5 Ogos itu.
Selepas kehilangan semua fungsi otak, beliau disahkan meninggal dunia mengikut undang-undang California, walaupun jantungnya masih berdegup ketika keluarganya meneruskan mesin sokongan hayat sambil mencuba mendapatkan penderma organ, jurucakap Holly Baird memberitahu AFP.
“Hari ini kami kehilangan cahaya, hati yang baik dan paling ceria, ibu yang penyayang, dan kawan yang setia,” kata keluarga itu dalam satu kenyataan bersama.
“Anne akan sangat dirindukan, tetapi beliau hidup melalui anak-anaknya, karya ikoniknya, dan pembelaannya yang penuh semangat. Keberaniannya untuk selalu berdiri dalam kebenarannya, menyebarkan pesanan cinta dan penerimaannya, akan terus memiliki impak yang bertahan lama.”
Heche, yang terkenal dengan filem tahun 1990-an Donnie Brasco dan Six Days, Seven Nights serta hubungan berprofil tinggi dengan hos rancangan bual bicara Ellen DeGeneres, merempuh sebuah rumah dua tingkat di kejiranan Mar Vista di Los Angeles.
Insiden itu mengakibatkan kerosakan struktur dan kebakaran besar di tempat kejadian, menurut Jabatan Bomba Los Angeles.
Kebakaran itu mengambil masa lebih sejam untuk dikawal dan dipadamkan oleh 59 anggota bomba, kata jabatan itu.
Media tempatan melaporkan pada Khamis yang ujian awal darah Heche positif dadah, walaupun lebih banyak lagi diperlukan untuk memastikan ubat itu tidak diberikan semasa rawatannya.
Saluran gosip selebriti TMZ, memetik sumber polis yang tidak dinamakan, berkata Heche diuji positif kokain dan fentanyl, yang kadangkala digunakan untuk melegakan kesakitan dalam rawatan klinikal.
Heche terkenal dengan peranannya dalam sinetron Another World, yang membolehkan beliau memenangi Daytime Emmy pada 1991.
Beliau dicalonkan anugerah Tony bagi penampilannya dalam Twentieth Century di Broadway pada 2004.
“Abang saya, Atlas dan saya kehilangan ibu kami,” kata anak lelaki Heche, Homer Laffoon dalam satu kenyataan berasingan.
“Semoga ibu saya bebas daripada kesakitan dan mula meneroka apa yang saya suka bayangkan sebagai kebebasan abadinya,” tulis beliau. – AFP, 13 Ogos, 2022.
Komen