Bersih gesa SPR tubuh pusat undi untuk pengundi luar kawasan


Noel Achariam

BERSIH menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan pusat undi di setiap negeri bagi membolehkan pengundi yang tinggal atau bekerja di negeri lain mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusinya Thomas Fann berkata SPR sepatutnya membenarkan pengundi luar kawasan terutama pemilih berasal dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung untuk mengundi.

Menurut Fann pusat undi awal akan membantu mereka yang tidak dapat pulang ke kampung susulan kekangan kos untuk membuang undi.

“Kami gesa pengundi diberikan hak mengundi tidak hadir dan disediakan fasiliti untuk mengundi tiga hari sebelum hari pengundian sebenar.

“Bersih sokong undi awal daripada undi pos kerana ada kemungkinan berlaku pembelian undi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PU15 akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau menggesa ahli partinya agar bekerja keras seumpama PRU15 bakal diadakan esok.

Kata Fann, satu lagi cadangan kepada SPR adalah membenarkan pengundi di luar negara memuat turun kertas undi mereka dalam versi PDF pada laman portal MySPR.

Perkara ini katanya lebih efektif daripada menggunakan kaedah kuno iaitu mencetak kertas undi, masukkan ke dalam sampul dan dipos.

“Kaedah ini (pos) boleh jadi kelewatan dalam penerimaan kertas undi dan terlepas tarikh akhir pengundian.

“Kita percaya sekurang-kurangnya 1 juta rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dan layak mengundi,” katanya.

Berkait tempoh kempen yang sewajarnya, Fann berkata melainkan undian secara pos diubah yang membolehkan muat turun dokumen undi versi PDF, tempoh minimum kempen hendaklah 21 hari.

Katanya ini bagi memberi masa undi pos itu sampai pada masanya.

“Jika SPR membenarkan muat turun dokumen undi versi PDF, tempoh minimum kempen boleh dipendekkan kepada 15 hari,” katanya.

Tambahnya, Bersih telah mencadangkan pelbagai pembaharuan kepada SPR dan sehingga 2018 hanya dakwat kekal yang diterima pakai.

“Tapi sejak PRU14, kami lihat pelaksanaan Undi18, pendaftaran pengundi secara automatik dan daftar pemilih yang bermasalah seperti pembersihan pengundi yang telah meninggal dunia.

“Serta pelaksanaan lanjutan tempoh pendaftaran undi pos untuk rakyat Malaysia yang tinggal di negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Kalimantan (Indonesia),” katanya. – 13 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen