Tiada apa boleh ditawarkan gabungan baharu Dr Mahathir kepada Melayu, kata Mujahid


Alfian Z.M. Tahir

Mujahid menyatakan harapan agar rakyat membuat keputusan yang tepat dalam memilih. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2022.

TIADA benda baharu boleh ditawarkan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) kepada Melayu memandangkan ia diterajui oleh individu yang tidak banyak berjasa kepada negara, kata Mujahid Yusof Rawa.

Naib presiden Amanah itu berkata walaupun ia merupakan hak mana-mana kumpulan untuk menubuhkan gabungan, namun GTA tiada apa yang mampu ditawarkan melainkan mengulang naratif Melayu lama yang sama.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Mujahid berkata GTA yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad itu tidak akan pergi jauh jika ia melibatkan kumpulan yang terkenal dengan dogma Melayu tegar seperti Berjasa.

Anak bekas presiden PAS Yusof Rawa itu turut mempertikai kredibiliti Ibrahim Ali daripada Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dalam agenda menyatukan Melayu.

“Selama 22 tahun Dr Mahathir cuba menggunakan naratif ketuanan Melayu ketika dalam Umno dan Melayu tidak berubah. Malah dia tinggalkan parti Melayu itu dua kali sebab dia rasa Umno tak sama macam dulu.

“Sekarang dia tubuhkan parti baharu dan cuba yakinkan Melayu yang parti itu mampu selamatkan mereka. Apa yang Ibrahim Ali dah buat lepas bertahun-tahun dalam politik? Kita tahu siapa dia.

“Berjasa, apa yang mereka dah buat selain membawa ideologi Melayu? Tapi saya tak boleh halang sesiapa pun terlibat dalam proses demokrasi. Namun rakyat boleh memilih dan saya harap mereka buat keputusan yang tepat,” katanya.

GTA merupakan gabungan parti Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional, Berjasa dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Minggu lalu Pengerusi Pejuang Dr Mahathir mengumumkan penubuhan gabungan itu yang mensasarkan untuk menguatkan Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan gerakan itu bersifat rasis sebaliknya menumpukan usaha melawan parti Melayu yang menyeleweng iaitu Umno.

Katanya GTA akan mempertaruhkan calon di 120 kerusi Parlimen dengan majoriti Melayu pada pilihan raya umum akan datang. – 13 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen