Warisan hanya bincang peruntukan kerusi dengan Pakatan, kata Shafie


Jason Santos

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata parti itu tidak akan masuk Semenanjung Malaysia kerana mahu menuntut hak Sabah mengikut Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan laporan antara kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2018.

PARTI Warisan Sabah menerima tawaran Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk berbincang mengenai peruntukan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Presidennya, Shafie Apdal berkata ini bukanlah bermakna Warisan akan menyertai pakatan pembangkang itu.

Menurut Shafie, walaupun perbincangan bersama DAP dan PKR adalah positif, namun masih belum ada kata putus.

“Kami tak akan sertai Pakatan Harapan, tetapi akan menyokong mereka untuk mengambil alih Putrajaya.

“Sebelum ini saya beritahu Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamas dan penasihat DAP Lim Kit Siang yang Warisan tak akan masuk Semenanjung Malaysia sebab saya mahu tuntut hak Sabah mengikut Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan laporan antara kerajaan,” kata Shafie.

Beliau juga berkata masa untuk pemimpin-pemimpin dalam United Sabah Alliance (USA) sudah tamat kerana mereka telahpun diberi peluang semasa berada dalam kerajaan.

USA atau Gabungan Sabah terdiri daripada Solidariti Tanah Airku (Star) yang diketuai oleh Dr Jeffrey Kitingan, Parti Progresif Sabah (SAPP) yang diketuai oleh Yong Teck Lee, Harapan Rakyat -  Lajim Ukin dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah - Arshad Abdul Mualap.

Shafie berkata mereka sebelum ini telah memerintah Sabah dan tidak mendapat menarik perhatian rakyat negeri itu. Tambah beliau, tiada seorang pun dari mereka akan dapat menawan kerusi pantai timur Sabah,dan ini akan menyebabkan kegagalan penubuhan kerajaan negeri baharu.

“Cukuplah.

“Saya bukan menghina mereka. Tetapi mereka peru sedar tiada jalan lain Lajim boleh menang di Semporna, atau Jeffrey Kitingan di Tawau, Lahad Datu atau Kudat,” katanya semasa majlis sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Cina Kian Kok di Kota Kinabalu.

Jelas Shafie, sebuah parti pembangkang mesti boleh menang kerusi mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaa baharu di Sabah, dan USA tidak kuat di daerah pantai timur di Sabah.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua PKR dan Ketua PH Sabah Christina Liew, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, Naib Presiden Warisan Jaujan Sambokong, Junz Wong dan Setiausaha Warisan Loretto Padua Jr serta aktivis Perjanjian Malaysia Zainnal Ajamain dan bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Simon Sipaun. – 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen