Bersatu belum putuskan calon PRU15, kata Wan Saiful


Diyana Ibrahim

BERSATU belum memutuskan calon pilihan raya dan kerana itu tidak timbul soal sama ada ahli parlimennya sekarang tidak akan bertanding semula, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Katanya laporan media kononnya enam ahli parlimen Bersatu, yang memenangi kerusi mereka atas tiket Barisan Nasional, tidak akan bertanding semula hanya spekulasi.

“Laporan media tersebut hanya bersifat spekulasi, walhal kita tak pernah ada perbincangan dalam parti.

“Dan pemilihan calon ini ditentukan pucuk pimpinan, katanya kepada media selepas program perjumpaan tertutup penerangan Bersatu di Marang, Terengganu hari ini.

Utusan Malaysia hari ini dalam laporan yang tidak memetik sesiapa mendakwa enam ahli Parlimen Bersatu dipercayai tidak mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya PRU15.

Mereka ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya; Ahli Parlimen Kudat Abd Rahim Bakri; Ahli Parlimen Sabak Bernam Fasiah Fakeh; Ahli Parlimen Beaufort Azizah Dun dan Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Daripada enam ahli Parlimen tersebut, hanya Shabudin yang mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi pada Jun lepas.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata tiada calon yang boleh memberi jaminan dengan yakin bahawa mereka akan dapat mempertahankan kerusi.

Beliau memberi contoh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga tidak memberi jaminan namanya akan dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Bera oleh presiden Ahmad Zahid Hamidi.

“Tak ada siapa yang calon boleh sebut 100 peratus akan bertanding dalam mana-mana kerusi, bukan sahaja Bersatu tapi mana-mana parti di Malaysia.

“Ismail Sabri pun belum tentu boleh bertanding Bera.

“Apa kata kita tanya soalan itu adakah Ismail yakin beliau akan bertanding di kerusi Bera. Adakah Zahid akan menamakan beliau, itu persoalannya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata Bersatu akan mempertahankan kerusi yang disandang parti itu sekarang, termasuk yang asalnya dimenangi calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ketika ini Bersatu mempunyai 29 ahli Parlimen, dengan 15 berasal dari Umno dan 8 dari PKR. – 12 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen