Wan Saiful mahu tanding Kubang Pasu


Diyana Ibrahim

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mengumumkan hasratnya untuk bertanding di Parlimen Kubang Pasu pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, namun keputusan tetap bergantung kepada pucuk pimpinan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2022.

KETUA Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berhasrat bertanding di kerusi Parlimen Kubang Pasu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang dijangka oleh banyak pihak akan diadakan tahun ini.

Katanya, beliau ahli Bersatu di Kubang Pasu dan sudah mengerakkan kerja-kerja khidmat masyarakat di situ.

“Bahagian saya di Kubang Pasu, dan saya akan bantu jentera Bersatu di Kubang Pasu dan sudah tentu minat saya di parlimen situ.

“Saya buat kerja di situ dan bertanding di Kubang Pasu,” katanya kepada media selepas program perjumpaan tertutup penerangan Bersatu di Marang, Terengganu hari ini.

Bagaimana beliau berkata ia terserah kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan berkenaan pembahagian kerusi yang akan ditandingi.

Menurut Wan Saiful, Bersatu akan mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Pasu selepas ahli Parlimennya Amiruddin Hamzah memilih untuk bersama bekas pengagas parti Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai Pejuang.

Wan Saiful juga berkata Bersatu juga akan mempertahankan empat lagi kerusi yang asalnya dimenangi parti itu iaitu Langkawi, Jerlun, Sri Gading, Muar, dan Simpang Renggam.

Pada PRU14 Wan Saiful bertanding di kerusi Pendang namun kalah kepada calon PAS, Awang Hashim yang kini menjadi timbalan menteri sumber manusia. – 12 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen