PKR Sarawak menggesa kerajaan negeri memikirkan semula tentang perancangan untuk menubuhkan universiti agama dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi negeri yang baharu dilantik oleh parti pembangkang itu Roland Engan berkata universiti agama di Sarawak harus merangkumi semua agama yang dianuti di negeri itu, bukan hanya untuk orang Islam.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan menteri hal ehwal Islam Sarawak Dr Abdul Rahman Junaidi yang mendedahkan cadangan Majlis Islam Sarawak (MIS) tentang penubuhan universiti itu.
Tambah Engan kerajaan perlu untuk mengambil kira realiti negeri yang berbilang agama, kaum dan budaya.
Beliau berkata universiti yang dirancang itu harus mempunyai fakulti agama dan undang-undang adat untuk semua kumpulan agama.
“Universiti sedemikian (dengan fakulti undang-undang agama dan adat semua agama) pasti akan mencerminkan warna sebenar masyarakat Sarawak yang brbilang agama, etnik, dialek serta budaya.”
Sebaliknya, kata Engan, universiti untuk satu agama sahaja “tidak akan mencerminkan masyarakat berbilang kaum Sarawak yang sebenar”.
Malah, katanya, ia bakal merosakkan masa depan negeri.
“Saya bersetuju dengan kepentingan memajukan agama sebagai faktor penyumbang kepada usaha gigih Sarawak dalam membina kehidupan yang aman, tetapi tidak ada satu agama pun harus diberi keutamaan berbanding agama lain dalam keputusan penting seperti itu oleh mana-mana badan agama atau kerajaan Sarawak”.
“Universiti yang penuh warna” itu, tambahnya, juga harus dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri “untuk memastikan impian Premier Sarawak (Abang Johari Openg) dan PH (Pakatan Harapan) bagi mendapatkan pendidikan percuma buat rakyat Sarawak akan menjadi kenyataan.”
Dr Abdul Rahman, timbalan menteri utiliti dan telekomunikasi kedua negeri, berkata universiti yang dicadangkan itu adalah untuk menampung pelajar pengajian Islam yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
Beliau berkata pelajar yang mengikuti pengajian Islam di Tingkatan 4 dan 5 tidak mempunyai pilihan untuk melanjutkan pelajaran di negeri ini selepas menamatkan pengajian menengah.
Mereka perlu meneruskannya di institusi di semenanjung atau di luar negara seperti Indonesia dan lebih jauh lagi ke institusi di Timur Tengah, katanya. – 12 Ogos, 2022.
Komen