PEGUAM Negara Amerika Syarikat (AS) Merrick Garland berkata pada Khamis beliau telah “meluluskan secara peribadi” serbuan dramatik ke atas rumah Donald Trump di Florida.
Pendakwa raya tertinggi negara itu tidak mendedahkan sebab pencarian di rumah bekas presiden AS, malah mengutuk “kritikan tidak berasas” ke atas FBI dan Jabatan Kehakiman.
“Saya secara peribadi meluluskan keputusan untuk mendapatkan waran geledah,” kata Garland kepada pemberita dalam kenyataan awam pertamanya sejak serbuan Isnin. “Jabatan tidak mengambil mudah keputusan sedemikian.”
Sambil menyatakan bahawa “kewajipan etika” menghalangnya untuk memperincikan asas tindakan itu, Garland berkata beliau telah meminta seorang hakim Florida untuk mengeluarkan waran itu kerana Trump telah mengesahkan pencarian secara terbuka itu dan ada “kepentingan awam yang besar dalam perkara ini.”
Trump, yang mempunyai salinan waran geledah tetapi enggan mendedahkan kandungannya.
“Bukan sahaja saya tidak akan menentang pengeluaran waran… saya akan melangkah lebih jauh dengan MENGGALAKKAN pengeluaran segera waran tersebut,” tulis bekas presiden itu di Truth Social, laman sosial yang dilancarkannya tahun ini.
Dalam catatan lain, Trump mengulangi dakwaannya yang penggeledahan itu “senjata politik penguatkuasa undang-undang yang belum pernah terjadi sebelum ini.”
The Washington Post pada Khamis memetik sumber tanpa nama yang rapat dengan penyiasatan sebagai berkata dokumen sulit berkaitan senjata nuklear antara kertas yang dicari oleh ejen FBI semasa serbuan itu.
Akhbar itu tidak menjelaskan sama ada senjata nuklear terbabit adalah milik Amerika Syarikat atau negara lain. – AFP, 12 Ogos, 2022.
Komen