KETUA Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi pada Khamis berkata sedang berusaha untuk melawat loji nuklear Zaporizhzhya, Ukraine di tengah-tengah serangan terbaharu di kawasan itu, lapor Agensi Anadolu (AA).
Grossi memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan penilaian awal, tiada ancaman segera terhadap keselamatan di loji kuasa nuklear itu tetapi memberi amaran keadaan boleh berubah pada bila-bila masa.
Tapak nuklear terbesar di Eropah dibedil beberapa kali, menimbulkan kebimbangan mengenai ancaman bencana nuklear.
Rusia dan Ukraine saling tuduh menuduh menyalahkan satu sama lain berhubung serangan ke atas kemudahan nuklear itu.
Rusia kini mengawal kemudahan itu dan kawasan sekitarnya sejak Mac.
Grossi berkata beliau bersedia untuk mengetuai sepasukan pakar untuk menilai tahap kerosakan fizikal kemudahan itu.
‘‘IAEA mesti dibenarkan untuk menjalankan misinya secepat mungkin,’’ tambahnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa semua aktiviti ketenteraan dihentikan serta-merta di dalam dan sekitar loji nuklear, memberi amaran sebarang insiden yang tidak diingini boleh membawa kepada bencana.
Rusia, meminta mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan, menyalahkan Ukraine sekali lagi atas serangan baru-baru ini manakala negara-negara Barat menggesa agar loji nuklear itu dikembalikan kepada Ukraine.
Timbalan Setiausaha Negara bagi Kawalan Senjata dan Keselamatan Antarabangsa Amerika Syarikat Bonnie Jenkins berkata Washington menyokong cadangan Ukraine untuk mewujudkan zon bebas tentera di sekitar loji Zaporizhzhya.
Rusia menguasai kemudahan itu pada 4 Mac, kira-kira dua minggu selepas operasi ketenteraan di Ukraine. – Bernama, 12 Ogos, 2022.
Komen