SEORANG ulama kanan Taliban yang terkenal dengan ceramah lantang mengkritik IS terbunuh di madrasahnya di Kabul semalam dalam serangan pengebom bunuh diri yang didakwa didalangi kumpulan militan itu.
Rahimullah Haqqani, yang baru-baru ini menyokong usul wanita dibenarkan hadir ke sekolah, pernah terselamat daripada sekurang-kurangnya dua cubaan bunuh sebelum ini, termasuk di Pakistan pada Oktober 2020.
“Madrasah Sheikh Rahimullah menjadi sasaran hari ini dan beliau bersama seorang abangnya terbunuh,” kata jurucakap polis Kabul Khalid Zadran, menambah tiga lagi cedera dalam letupan itu.
Terdahulu, Khalid memaklumkan hanya Rahimullah terbunuh, manakala empat lagi cedera.
Jurucakap kerajaan Afghanistan Bilal Karimi mengesahkan kematian itu dan menyifatkan serangan berkenaan didalangi “musuh pengecut”, namun tidak memberi perincian.
Beberapa jam kemudian, IS menerusi Telegram mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, dan mendakwa penyerang mengaktifkan vest bahan letupan di dalam pejabat Rahimullah.
Rahimullah antara individu utama dalam Taliban yang menyeru penentangan terhadap IS, kata kumpulan pemantau militan SITE, yang menterjemah kenyataan IS.
Sumber Taliban memaklumkan, meskipun Rahimullah tidak memiliki jawatan rasmi, beliau adalah individu yang amat berpengaruh dan mengajar ramai ahli kumpulan itu sejak bertahun lamanya.
Ramai anggota Taliban menzahirkan ucapan takziah menerusi media sosial termasuk bekas jurucakap polis Kabul, Mobin Khan. – AFP, 12 Ogos, 2022.
Komen