Polis tembak mati lelaki cuba ceroboh pejabat FBI Ohio


Seorang lelaki bersenjata yang melarikan diri selepas cuba menceroboh pejabat FBI di Ohio, ditembak mati ketika berbalas tembakan dengan polis. – Gambar AFP, 12 Ogos, 2022.

SEORANG lelaki bersenjata yang melarikan diri selepas cuba menceroboh pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Ohio, Amerika Syarikat (AS) mati tidak lama kemudian ketika berbalas tembakan dengan polis.

Kes itu menarik perhatian seluruh negara kerana ia berlaku hanya beberapa hari selepas FBI melakukan pemeriksaan terhadap rumah bekas presiden AS Donald Trump di Florida, yang mencetuskan kemarahan penyokong berhaluan kanan.

Namun, tiada bukti menunjukkan kaitan kedua-dua perkara itu setakat ini.

Menurut FBI, seorang lelaki bersenjata yang memakai perisai badan cuba menceroboh pintu masuk ke pejabat FBI di Cincinnati, Ohio, pagi semalam.

“Selepas penggera diaktifkan dan ejen khas FBI dikerah mengawal keadaan, suspek melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Media tempatan melaporkan suspek melepaskan tembakan menggunakan pistol paku dan mengacukan raifal seperti AR-15 sebelum melarikan diri menggunakan kereta.

Jurucakap polis berkata pihak berkuasa kemudian mengejar kereta suspek sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan luar bandar.

“Selepas kereta itu berhenti, suspek dan pihak berkuasa di lokasi terus berbalas tembakan, pihak berkuasa cuba berunding dengan suspek, namun lelaki itu enggan menyerah diri,” katanya.

Selepas suspek mengacukan senjata ke arah polis, pihak berkuasa melepaskan tembakan ke arahnya, menyebabkan lelaki itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.

Kelmarin, Pengarah FBI Christopher Wray menyelar ancaman terhadap FBI susulan serbuan di kediaman Trump, dan menyifatkannya sebagai tindakan buruk lagi berbahaya. – AFP, 12 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen