Perancis bimbang kebakaran terbaharu akan merebak


Bomba Perancis berkata 17 rumah telah musnah atau rosak sejak Selasa, dan hampir 10,000 orang dipindahkan, namun tiada arahan lanjut untuk meninggalkan kawasan itu buat masa ini. – Gambar AFP, 11 Ogos, 2022.

PEGAWAI Perancis memberi amaran pada Khamis kebakaran terbaharu boleh merebak di barat daya negara itu, di mana ia telah menghitamkan sebahagian besar tanah minggu ini.

Perdana Menteri Elisabeth Borne akan bertemu pihak berkuasa yang sedang bertarung memadam kebakaran Landiras di selatan Bordeaux, malah bantuan lanjut juga dijangka diberikan untuk 1,100 anggota bomba di lokasi, kata jabatan wilayah Gironde.

“Keadaan amat sukar. Tumbuh-tumbuhan dan tanah sangat kering,” katanya dalam satu kenyataan, memberi amaran haba kering melampau mungkin berlanutan sepanjang hujung minggu.

“Terdapat risiko merebak baharu yang sangat serius,” katanya.

Suhu di rantau itu mungkin melebihi 40 Celsius pada Khamis, ramalan cuaca meramalkan.

Kebakaran hutan pertama kali meletus sebulan lalu pada Julai – bulan paling kering di Perancis sejak 1961 yang memusnahkan 14,000 hektar dan memaksa beribu-ribu orang berpindah sebelum ia berjaya dikawal.

Tetapi ia terus membara dan pegawai mengesyaki pembakaran terdahulu mungkin memainkan peranan dalam kebakaran terbaharu, yang telah membakar 6,800 hektar sejak Selasa.

“Kami berjuang sepanjang malam untuk padamkan api daripada merebak, terutamanya untuk mempertahankan perkampungan Belin-Beliet,” kata Leftenan Kolonel Arnaud Mendousse dari perkhidmatan bomba dan penyelamat Gironde kepada wartawan.

Tujuh belas rumah telah musnah atau rosak sejak Selasa, dan hampir 10,000 orang dipindahkan, tetapi tiada arahan lanjut untuk meninggalkan kawasan itu “buat masa ini”, kata Mendousse. – AFP, 11 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen