SEBANYAK 4,896 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam, berbanding 3,083 yang dilapor pada Selasa, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Data KKM di laman web CovidNow menunjukkan jumlah keseluruhan jangkitan dalam negara kini meningkat kepada 4.719 juta kes sejak pandemik melanda.
Selangor paling tinggi catat angka harian semalam iaitu 1,824 kes, diikuti Kuala Lumpur (1,046) dan Perak (374).

Semalam juga sebanyak 12 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan, dengan enam daripadanya berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID). Ini menjadikan jumlah kematian setakat ini 36,056 orang, menurut data KKM.
Kematian direkodkan masing-masing dua kes di Johor, Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur; manakala Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Selangor masing-masing satu kes.
Bagi kes aktif pula, sebanyak 44,622 kes direkodkan dengan 96.2% atau 42,942 sedang menjalani kuarantin di rumah; 35 (0.1%) di pusat kuarantin; dan 1,577 (3.7%) dirawat di hospital.
Seramai 68 pesakit Covid-19 ditempatkan di unit rawatan rapi, dengan 37 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 11 Ogos, 2022.
Komen