Undang-undang antilompat parti akan tingkat keyakinan pengundi, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Penganalisis politik yakin undang-undang antilompat parti meningkatkan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2022.

PINDAAN Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini untuk melarang lompat parti dijangka meningkatkan peratusan keluar mengundi dan keyakinan pengundi pada pilihan raya akan datang, kata penganalisis.

“Walaupun, terdapat dua lagi langkah sebelum pindaan itu termaktub secara sah, saya menjangkakan pindaan itu akan memulihkan keyakinan pengundi dalam proses pilihan raya,” kata Prof Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.

Mazlan mengulas mengenai kelulusan Dewan Negara mengenai pindaan perlembagaan bagi menghalang lompat parti pada Selasa. Rang undang-undang itu kini akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan diraja sebelum ia diwartakan.
 
Walaupun tujuh senator tidak hadir, 52 mengundi rang undang-undang itu selepas 33 senator membahaskan pindaan itu.

Pada 28 Julai, 209 ahli Parlimen di Dewan Rakyat mengundi untuk pindaan itu dengan 11 tidak hadir. Tidak ada ahli Parlimen yang menentang.

Menambah analisisnya, Mazlan berkata keyakinan pengundi akan bertambah baik kerana mereka kini merasakan ahli Parlimen yang dipilih tidak boleh melompat parti lagi.

“Kami masih perlu melakukan lebih banyak tinjauan untuk mengesahkannya,”  kata pensyarah sains politik itu.

Mazlan yang turut menjalankan kajian lapangan mengenai tingkah laku pengundi berkata, beliau kini sedang meninjau dua kawasan di Selangor.

“Kami telah bertanya kepada pengundi di Sepang dan Sementa sama ada mereka akan keluar mengundi selepas pindaan diluluskan. Kita sepatutnya mendapat gambaran yang lebih jelas selepas itu,” kata Mazlan.

Seorang lagi penganalisis, Pengarah Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata pindaan memberi harapan selepas pengundi terjejas oleh Langkah Sheraton pada 2020.

“Semasa tinjauan lapangan terakhir kami pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor, kami mendapati ramai pengundi, terutamanya bukan Melayu, tidak mahu mengundi kerana apa yang berlaku pada 2020.

“Responden memberitahu penyelidik kami bahawa mereka berasa putus asa selepas melihat bagaimana kerajaan yang mereka undi telah digulingkan selepas Bersatu keluar dari Pakatan Harapan pada 2020,” kata Hisomuddin.
 
Tetapi berdasarkan maklum balas awal dengan kumpulan fokus, Hisomuddin berkata pengundi lebih bersedia untuk mengundi semula selepas pindaan perlembagaan diluluskan baru-baru ini.

Beliau berkata Ilham Centre menjangkakan pindaan itu akan merangsang pengundi pada PRU15.
 
“Tetapi kami akan memerlukan tinjauan nasional untuk melihat sejauh mana ia akan meningkatkan peratusan keluar mengundi,” katanya.

Berikutan Langkah Sheraton 2020 dan pandemik Covid-19, peratusan keluar mengundi dalam tiga pilihan raya negeri lepas di Melaka, Sarawak dan Johor menyaksikan peratusan keluar mengundi rendah baharu iaitu 65.85%, 60.67% dan 54.92%.

Sebelum penularan wabak dan lompat parti yang tidak senonoh sejak empat tahun lalu, peratusan keluar mengundi pada pilihan raya umum 2018 purata 82.32%.

Salah satu faktor utama yang disebut untuk keengganan untuk mengundi berikutan 2020 adalah disebabkan oleh keletihan politik dan kekecewaan terhadap lompat parti yang berleluasa oleh ahli Parlimen sejak 2018. – 11 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen