RCI siasat LCS perlu bebas ahli politik, kata Pemuda Umno


Suruhanjaya siasat skandal kapal tempur pesisir perlu dianggotai pakar pembinaan kapal perang dan yang dihormati, kata ketua pemuda Umno Asyraf Wajdi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal kapal tempur pesisir (LCS) perlu bebas daripada mana-mana ahli politik, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pemuda Umno itu berkata RCI itu perlu dianggotai pakar-pakar dalam aspek kejuruteraan pembinaan kapal perang dan yang dihormati.

“Ini penting bagi memastikan segala dapatan dan hasil siasatan nanti tidak bias dan dilihat berkecenderungan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat sayap pemuda Umni di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia.

Semalam parti itu turut bersama menyuarakan tuntutan penubuhan RCI, berkata berkata ia akan membantu menamatkan spekulasi dan provokasi yang tidak berkesudahan oleh pelbagai pihak berikutan laporan PAC Khamis lepas.

“Kepimpinan Umno yang berada di dalam kerajaan sebelum dan ketika ini juga mahukan agar siasatan dan tindakan menyeluruh terhadap laporan audit yang dikeluarkan PAC dapat dilakukan segera.

“Pemuda Umno mendesak agar pihak kerajaan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat isu ini secara komprehensif dan bebas demi kepentingan rakyat Malaysia,” kata Asyraf semalam.

Dalam pada itu, ketua pemuda Umno itu turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia segera bertindak dan mendedahkan secepat mungkin hasil siasatan yang sudah dijalankan.

Awal hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan laporan siasatan jawatankuasa khas yang dibentuk oleh pentadbiran Pakatan Harapan bagi menyiasat perolehan LCS akan didedahkan kepada umum.

Kebenaran itu diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguannya hari ini, kata perdana menteri.

Jemaah Menteri juga mencadangkan agar laporan audit forensik projek perolehan itu yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasi, tertakluk nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara.

“Mesyuarat membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

“Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan. Namun, proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

“Keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan mengganggu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April 2022,” kata perdana menteri dalam satu kenyataan.

Malaysia digemparkan dengan isu LCS yang sudah lama menjadi tumpuan selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporannya mengenai projek gagal itu.

Laporan itu mendedahkan ia telah mengadakan sembilan prosiding mengenai projek itu bermula pada 18 November 2020, dan yang terakhir pada 8 Mac tahun ini, dengan memanggil beberapa saksi.

Laporan 14 ahli parlimen rentas parti itu antara lain mendapati kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui kontrak runding terus, namun tiada kapal diterima setakat ini.

PAC juga antara lain mencadangkan agar SPRM mengambil tindakan ke atas laporan siasatan berhubung projek perolehan itu dan menyegerakan pendakwaan.

Mengikut jadual asal, lima kapal sepatutnya telah siap dan diserahkan pada bulan ini.

Projek itu dimulakan di bawah pentadbiran Najib Razak. Menteri pertahanan ketika itu ialah Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan presiden Umno sekarang. – 10 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen