Keamanan, keharmonian dunia akar budaya komuniti, kata Xi Jinping 


Presiden China Xi Jinping berkata keamanan dan keharmonian antara semua negara di dunia merupakan aspirasi rakyat China sejak dahulu.– Gambar EPA, 10 Ogos, 2022.

PRESIDEN China, Xi Jinping menggalakkan lebih ramai belia dari Malta supaya lebih aktif menyertai aktiviti pertukaran program kemanusiaan China-Malta.

Beliau berkata demikian dalam surat yang dihantar kepada pelajar dan guru dari ‘China Corner’ Sekolah Menengah Kolej St. Margaret Malta baru-baru ini.

Guru dan pelajar yang terlibat dengan ‘China Corner’ itu baru-baru ini mengirim surat kepada Presiden Xi untuk menyatakan minat terhadap budaya China, serta memuji konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan, dan inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Mereka turut menyatakan kesediaan untuk memberikan lebih banyak sumbangan dalam program pertukaran budaya kedua-dua negara.

Menurut Xi, dengan usaha kedua-dua negara, ‘China Corner’ Sekolah Menengah Kolej St. Margaret memainkan peranan positif untuk meningkatkan persefahaman golongan belia dari Malta terhadap China, selain turut mendorong hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Beliau berharap usaha berkenaan akan menempa lebih banyak kejayaan dan turut mengalu-alukan kedatangan guru serta pelajar sekolah itu ke China untuk mengadakan program pertukaran dan pembelajaran.

Xi berkata keamanan dan keharmonian antara semua negara di dunia merupakan aspirasi rakyat China sejak dahulu, dan ia juga menjadi akar budaya bagi visi pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

“Di dunia yang kita diami ini, sejarah dan realiti bertembung, harapan dan cabaran wujud bersama, dan takdir manusia berkongsi nasib dan musibah.

“Hanya dengan berganding bahu dan kerjasama sama menang barulah setiap insan berkongsi hasil pembangunan,” kata beliau.

Xi berkata China mengemukakan BRI, Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global untuk mencapai konsensus yang meluas, menggembleng tenaga serta melakukan tindakan praktikal untuk mempraktikkan konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan.

“Inisiatif-inisiatif yang dikemukakan oleh China itu amat berkesan dalam mengatasi kesulitan pembangunan sejagat dan tatkala menghadapi cabaran keselamatan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata China dan Malta yang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini menjadi contoh baik dalam hubungan persahabatan antara pelbagai negara dengan sejarah dan budaya yang berbeza.

Xi juga berharap lebih ramai guru, pelajar dan belia Malta menyertai aktiviti pertukaran kemanusiaan dengan China, dan menjadi penggalak untuk saling belajar mengenai tamadun, serta pewaris kepada hubungan persahabatan rakyat.

Sekolah Menengah Kolej St. Margaret ialah sekolah komprehensif milik kerajaan dan ‘China Corner’ pula diwujudkan dengan sokongan China pada 2010. – Bernama, 10 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen