13 orang awam terbunuh serangan Rusia di tengah Ukraine, kata gabenor


Loji Zaporizhzhia, yang terbesar di Eropah, diduduki oleh tentera Rusia dan telah menjadi pusat pertempuran baharu. – Gambar AFP, 10 Ogos, 2022.

TIGA BELAS orang awam terbunuh akibat serangan Rusia di wilayah Dnipropetrovsk di tengah Ukraine, kata gabenor tempatan pada Rabu.

“Malam yang mengerikan. 11 orang mati,” tulis Valentin Reznichenko di Telegram.

Tambahnya dua lagi orang telah meninggal dunia akibat kecederaan.

Dua belas daripada mangsa terbunuh dalam serangan di kampung Marganets, di seberang Sungai Dnieper dari loji kuasa nuklear Zaporizhzhia, kata Mykola Lukashuk, ketua majlis wilayah.

“Bangunan pentadbiran rosak: bangunan tinggi, sekolah, istana budaya, bangunan majlis bandar,” katanya.

“Di bandar, talian elektrik telah dipotong. Beberapa ribu orang tidak mempunyai bekalan elektrik.”

Reznichenko menggesa penduduk supaya ambil peduli dengan siren serbuan udara dan segera mencari perlindungan.

“Saya mohon dan merayu kepada anda… Jangan biarkan Rusia bunuh anda,” katanya.

Loji Zaporizhzhia, yang terbesar di Eropah, diduduki oleh tentera Rusia dan telah menjadi pusat pertempuran baharu.

Rusia dan Ukraine telah menuduh antara satu sama lain membedil berhampiran loji itu, dengan Kyiv berkata Moscow menggunakannya sebagai pangkalan tentera dan peluru bagi melindungi daripada serangan tentera Ukraine. – AFP, 10 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen