9 akan didakwa tidak solat Jumaat di Terengganu


Diyana Ibrahim

Menurut penguatkuasa syariah Terengganu, sepanjang Julai sahaja, seramai 11 individu telah ditahan kerana tidak menunaikan solat Jumaat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

TERENGGANU akan mendakwa sembilan lelaki yang ditahan kerana tidak solat Jumaat dalam operasi penguatkuasaan pihak berkuasa agama yang dijalankan sejak Julai lepas.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu (Pindaan 2016), kata Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT Md Adnan Abdullah berkata sembilan lelaki itu berdepan hukuman denda RM3,000 maksimum dan penjara tidak lebih dua tahun, jika disabit kesalahan.

“Sepanjang Julai lalu, seramai 11 individu telah ditahan kerana didapati tidak menunaikan solat Jumaat.

“Daripada jumlah itu, seramai sembilan individu terdiri daripada belia dan dewasa berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun akan berdepan dakwaan di Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Dua daripada mereka yang berusia 14 dan 16 tahun bagaimanapun dilepaskan tetapi perlu menjalani kaunseling di pejabat JHEAT, tambahnya.

Jelas Md Adnan, JHEAT menjalankan operasi selepas mengadakan kempen kesedaran terlebih dahulu sejak awal tahun ini.

“Kita sebenarnya telah lama memulakan penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Kuala Terengganu. Namun operasi terpaksa dihentikan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi selepas PKP, bermula awal tahun ini kita laksanakan kempen kesedaran kerana ada orang yang dah lama tak solat Jumaat.

“Kempen kesedaran ini kita buat meliputi daerah-daerah di Terengganu,” katanya.

Menurut Md Adnan, JHEAT menggerakkan pegawai wanitanya bagi melakukan operasi ponteng solat Jumaat.

Pada 2016 Terengganu meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu dengan mengenakan undang-undang lebih berat kepada umat Islam di negeri yang tidak solat Jumaat.

Mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa alasan munasabah boleh didenda RM3,000 dan penjara tidak lebih dua tahun jika ditahan pihak berkuasa. – 10 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen